PUISI: KAMI TIDAK PERNAH MEMINTA



KAMI TIDAK PERNAH MEMINTA
(27/4/2023)

Orang seperti kami, tidak pernah  meminta
untuk seperti ini, hanya Tuhan Yang  Maha Esa tahu,
betapa kami setiap waktu  berhati-hati menjaga asa
agar pada hari esok, tetap mampu tumbuh mendewasa 
melihat tawa sang mentari, mendengar  suara hujan merawat kecewa

percayalah
yang kami perlu, cuma  sedikit simpati dan empati
untuk melegakan diri yang kian hari resah, gelisah 
tidak mengapa jika  tak mahu mendengar cerita  hati kami
namun jangan sampai, dipandangnya kami  seakan pendosa yang tak lelah


tahukah,
setiap kali diri ini  dihukum penuh prejudis
dengan segera kami memasang perisai  individualis
demi menjaga sekeping hati, agar tidak terus terjerungkis
menangis sendiri sampai dah tak tahu, nikmat tersenyum manis

kami sakit
betul-betul sakit
bukan saja suka buat-buat
bukan sebab kami tak lekas bertaubat
tapi dada kami yang asyik diasak sempit
kepala kami sibuk dijangkit bunyi-bunyi bingit

dan tolong, jangan asyik minta kami ingat Tuhan
kami tahu Dia sentiasa ada, meraikan kami dengan ihsan
cuma  bila sakit, kadang lagak kami seperti dirasuk syaitan
tapi tidak! hanya  kala itu kami gagal mengawal fikiran
sebab s.a.k.i.t. ini,  hadirnya langsung tanpa kasihan!



Comments

  1. Assalamualaikum terima kasih di atas bait-bait kata yang sungguh memotivasikan diri ini. Benarlah bagai yang dikata oleh penulis ramai di kalangan mereka yang tidak pernah mengerti apa yang ditempuhi oleh mereka yang menghidap penyakit mental ini. Sepanjang hidup saya, ramai yang terdiri daripada sahabat, ahli keluarga dan juga masyarakat yang memandang rendah pada golongan yang menghidap penyakit-penyakit mental ini terutamanya seperti “Anxiety, Depression, Major Depressive Disorder (MDD) With Psychosis, & Borderline Personality Disorder (BPD)”. Mereka sering menganggap bahawa mereka yang teruji dengan penyakit-penyakit mental ini tidak mendekatkan diri kepada Allah SWT, iman senipis kulit bawang akibat terlalu banyak berhalusinasi dan sebagainya.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA

CERPEN: KASIH ABANG (belum siap)