KISAH PESAKIT KEMURUNGAN (MDD)

KISAH PESAKIT KEMURUNGAN (MDD)
8/11/2025

Apa sebenarnya yang kerap dirasakan oleh pesakit kemurungan seperti aku?

    Sakit ni selalu buat aku rasa kosong. Ada juga sedih, marah, kecewa tapi yang paling menyakitkan, bila mana aku cuma rasa kosong. Dalam erti kata lain, aku tak dapat nak kesan emosi aku. Dan setiap kali perasaan tu datang, pipi aku akan basah dengan air mata. Aku sendiri tak dapat faham, apa yang aku rasa dan kenapa aku macam ni...

    Kata doktor,  sakit ni dah lama ada dengan aku. Senang cerita, sejak aku kecil. Tanpa aku sedar, 'dia' ikut aku selama ni. Macam bayang-bayang raksasa yang ikut sahaja aku dari belakang, seolah tidak akan mendatangkan bahaya. Hanya ikut aku ke masa sahaja.  Rupa-rupanya, 'dia' sedang cari masa yang sesuai untuk telan aku.

    Tahu, kali pertama masuk ke bilik doktor, aku cuma menangis. Bukan sekejap yaa, rasanya hampir 30 minit aku menangis dengan teruk. Itu kali pertama sepanjang 24 tahun  hidup, aku rasa selamat untuk menangis.Yaa, perasaan selamat yang selama ni Tuhan tidurkan dalam tubuh aku. Ouhh ya, doktor pertama aku tu bukan muslim dan juga bukan Melayu. Aku belajar satu perkara, toleransi dan empati kepada pesakit mental, tidak semestinya datang daripada keluarga dan rakan yang sama pegangan agama dan bangsa dengan kita.

    Anehnya, tujuan aku pergi ke sana, bukan untuk dapatkan diagnos bagi penyakit Major Depressive Disorder (MDD) atau orang kita panggil, kemurungan. Sebaliknya, aku nak pastikan betulkah aku ni ada ADHD, memandangkan prestasi tugas aku sebagai guru pelatih yang semakin merosot terutama berkaitan pendokumentasian. Ada masa, aku akan cerita pasal ADHD. Cuma, yang boleh aku katakan, gejala ADHD ni juga banyak menyumbang dan menjadikan simptom kemurungan aku semakin teruk.

    Bila difikirkan semula, betul kata doktor... Sejak kecil lagi, aku pernah berniat untuk 'pergi'. Bukannya aku nak 'pergi' sebab aku betul-betul nakkan perkara itu. Aku hanya nak hilangkan rasa sakit tersebut. Rasa yang selama ini, menggigit jiwa  aku perlahan-lahan.

    Mohon jangan cakap soal iman, soal takut Tuhan, soal dosa. Aku tak jahil sampai langsung  tak tahu hukum bunuh diri dalam Islam. Aku tahu, bahkan aku sangat tahu. Usah juga persoalkan amalan aku sebagai muslim. Banyakkan zikir, solat, baca al-Quran dan sebagainya. Sudah pasti sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama, aku  tahu perkara asas soal dosa dan pahala.

    Aku tak tolak bahawa sokongan spritual sangat berperanan dalam membantu pesakit mental untuk pulih,  tapi tidak bermaksud ia menjadi satu-satunya pendekatan yang berkesan untuk menangani penyakit kami. Banyak faktor yang menyumbang ke arah kesihatan mental seseorang. Jadi, semestinya jalan untuk penyembuhan, juga seharusnya bersifat holistik. Sepanjang aku sakit, bukan sekali dua aku dilabel, dihujah  dengan ayat-ayat  seperti...

"Ingat Allah"
"Jangan layan sangat perasaan tu, zikir banyak-banyak"
"Orang Palestine tu kena uji lagi teruk, tak dak pun terfikir nak bunuh diri apa semua"
"Dah, tu semua syaitan yang hasut"
"Bunuh diri ni haram kot dalam Islam"
"Cakap orang tak mau nak dengar, ada masalah baru cari"

    Kata doktor kelima aku dan merupakan individu yang merawat serta memantau keadaan aku sehingga sekarang, dalam keadaan sakit begini (kemurungan), ada fasa di mana pesakit  nak bangun dari katil pun  tak mampu. Kadang makan dan mandi pun tak larat, solat juga mungkin ada yang tinggal. Bukan sebab sengaja atau mengada-ngada. Sebagai muslim, semestinya solat yang ditinggal, perlu diganti semula. Cuma, sakit mental ni, seolah-olah pada bahu, ada beban yang sangat berat dan kita sentiasa pikul ia ke mana-mana. 

    Percayalah, Tuhan tak kejam. Dia sangat tahu, kita sedang sakit. Siapa mereka nak kata yang pesakit mental seperti kita ini, tak ingat Tuhan. Bukankah Tuhan sendiri yang beri kita sakit ini. Kalaulah mereka boleh nampak dan dengar setiap doa   agar Tuhan Yang Maha Esa beri jalan kesembuhan yang cepat buat kita.  Agar Tuhan diamkan kepala yang bising. Agar Tuhan bantu kita untuk kembali bermasyarakat. Agar Tuhan jadikan tidur kita tidur yang benar-benar lena. Agar Tuhan hilangkan perasaan tidak selesa, terlalu mengantuk, loya, sakit kepala, jantung berdebar setiap kali kita makan ubat.  Agar Tuhan bantu fahamkan orang sekeliling, yang kita ini sedang sakit. Berjuang dalam diam, bukan sengaja menyusahkan semua orang. Ada pesakit mental yang terpaksa mengharungi kesan sampingan ubat-ubatan yang diambil. Tahu tak, sangat tak seronok dan sungguh meletihkan. Kadang, sambil makan ubat pun, boleh menangis.

Semudah itu kalian bekata...
"Bergantung laa dengan ubat, nanti rosak buah pinggang baru tau."
"Suruh keluar rumah, tengok dunia, tak mau, dok layan sangat perasaan tu"


.......................................................................................................................................................................

    Selain Dr, aku juga dapatkan bantuan daripada seorang ahli terapi yang fokusnya adalah untuk membantu pesakit-pesakit mental yang ada trauma. Sudah 11 sesi, beliau berusaha bantu aku untuk lebih faham tentang diri sendiri.

    Kami adik-beradik membesar dengan melihat mak dan ayah bergaduh, hampir setiap hari. Ada masa, kami semua tidak berani tidur  atau saling berjaga-jaga pada waktu malam, sebab risau andai sesuatu terjadi kepada mak atau ayah. Pergaduhan mereka sangat jarang melibatkan serangan fizikal, tapi cukup untuk jadikan kami berenam sebagai remaja dan orang dewasa  yang tumbuh dengan duri dan luka zaman kanak-kanak. Jika yaa pun ada sentuhan fizikal, ia tidaklah seteruk mana sehingga mencederakan. Cuma, perang mulut antara mereka, tetap sahaja sangat menakutkan bagi kami. Kadang, kami sampai tutup pintu dan tingkap, takut jiran-jiran dengar. Adakala, mak akan larikan diri ke rumah Mak Ngah di sebelah. Sebab tahu, marah ayah tak surut-surut. Ada tahap, ayah pernah baling barang, tolak meja makan, ambil penukul dan ketuk-ketuk pintu bilik, sementara mak berada di dalam bilik tersebut, sembunyikan diri dari ayah. Abang pun beberapa kali ada merakam keadaan ayah ketika pergaduhan yang teruk dan ugut untuk tunjukkan rakaman kepada pihak polis. Bahkan abang pernah memujuk mak untuk tuntut fasakh atas perbuatan ayah selama ni.

    Aku tahu, ada lagi situasi gemelut kekeluargaan yang lebih teruk. Sama ada melibatkan keganasan rumah tangga, perceraian, pengabaian nafkah, penderaan, salah laku seksual dan lain-lain. Aku tak nafikan kesakitan dan trauma yang terpaksa ditanggung oleh mangsa. Tapi, tak juga bermaksud apa yang mak dan kami adik-beradik hadap selama ni, mudah untuk kami lewati...

    Ayah dah meninggal tahun lepas pada 16 September 2024, tapi luka ini tidak pernah padam. Sedikit pun tidak.  Aku dah maafkan arwah ayah, namun untuk lupakan perbuatannya sehingga  meninggalkan trauma besar dalam kehidupan kami semua, tidak. Aku takkan boleh lupakan perkara itu.

    Cuma, entah kenapa, semakin aku belajar tentang ADHD, aku nampak rupa-rupanya selama ini arwah ayah juga ada menunjukkan  gejala-gejala ADHD. Kerap lupa benda atau perkara harian, impulsif dalam berbelanja dan percakapan, sangat sensitif dengan penolakan serta pengurusan emosi yang lemah. Sudah pasti  ini bukan diagnosis,  hanya sahaja aku melihat ciri-ciri individu ADHD sangat ketara pada diri arwah ayah. Sekiranya betul andaian aku ni, kesiankan ayah. Mungkin ketika beliau sedang marah dan mengamuk, ada terdetik satu perasaan  kuat, yang mana arwah tak mahu pun dirinya jadi begini, tapi tetap gagal kawal rasa marahnya yang membuak-buak. Kesedaran tentang dunia neurodivergent dan penyakit mental pada ketika itu sangatlah rendah. Kami cuma nampak arwah ayah sebagai lelaki yang panas baran, jauh sekali cuba faham punca di sebalik sikapnya yang begitu. Benar...Salah tetap salah. Arwah mematikan  rasa selamat kami ketika berada di rumah.  Sikapnya  acap kali seperti ombak  menghempas pantai.

    Namun, dari aspek lain, arwah sangat berusaha menjadi  seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dengan memastikan keperluan anak dan isterinya dipenuhi. Aku  mula sedar,  bahawa arwah ayah dan mak juga ada luka masing-masing sepanjang berhempas pulas untuk menyara, mendidik anak-anak serta mengurus keperluan rumah tangga. Ditambah pula, keadaan kesihatan ayah sebagai seorang pesakit kencing manis  kronik, di samping  beberapa masalah kesihatan yang lain. Pada saat ini, kami baru faham betapa penatnya fizikal dan mental ayah, sebab arwah ada dua pekerjaan yang perlu dilakukan hampir setiap hari
Pemandu dan juga pesawah. Mak seperti biasa, kena urus rumah serta berhadapan sikap kami yang adakalanya, sangat menguji kesabaran. Ouhh yaa, mak seorang suri rumah sepenuh masa. Faham kan, letih dan tekanannya bagaimana...

    Aku mengaku, sebagai anak, kami juga banyak salah pada mak dan arwah ayah. Mereka pun sama kerana membiarkan kami membesar dalam rumah yang penuh dengan cerita-cerita duka.

Kebenarannya, kita semua ialah manusia yang sangat mustahil, langsung tidak pernah memberi luka kepada orang lain atau setidaknya, ada meninggalkan titik luka pada diri sendiri.




Comments

Popular posts from this blog

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA

PUISI: KAMI TIDAK PERNAH MEMINTA