CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)
Pang!!!
Terteleng kepala Yusuf ditampar berkali-kali oleh Mr Owl. Bibirnya pecah, pipi kanan menahan pedih yang tak terkira. Peluh merecik seluruh badan. Rasa lapar kerana belum menjamah apa-apa makanan sejak pagi tadi tidak lagi menganggu fikirannya. Dia hanya mahu keluar dari tempat ini. Pergi sejauh yang mungkin.
Yusuf memejamkan matanya beberapa detik. Terbayang wajah sugul sang ibu di kampung serta adik perempuannya, Suci Kemboja. Adiknya kini sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan terkemuka dalam pengkhususan psikologi kanak-kanak dan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang ahli psikologi klinikal bertauliah pada masa hadapan.
Tubir matanya bergenang dengan mutiara-mutiara jernih. Dia penat dengan semua ini, penat sangat! Manusia akan menjadi terlalu lelah, kerana terlalu asyik mengikut sampai menyembah manusia lain.
“Allah…"
Hatinya merintih perlahan, menyebut nama Sang Tuhan yang tidak pernah culas memerhatikan perbuatan setiap hamba-Nya. Lapan tahun dia hidup jauh tersasar, sudah berapa ramai kanak-kanak menjadi mangsanya atau lebih tepat lagi mangsa mereka semua. Bukannya Yusuf tak tahu, sesungguhnya Tuhan melaknat perbuatan tersebut. Tapi dia seperti lazimnya manusia-manusia lain. Saat hati telah mula mengiktiraf cinta dunia, kala diri sering terjelopok jatuh ke dalam lembah ujian, ketika keluarga kecilnya menjadi taruhan takdir kehidupan, dia menjadi Yusuf yang sekarang. Muhammad Yusuf Umair seakan terlupa kisah Nabi Yusuf A.S. Lelaki yang sama nama dengannya itu juga pernah diuji dek racun-racun dengki oleh para saudaranya. Bahkan Tuhan menghantar ujian lain berbentuk bunga-bunga fitnah.
Batin Yusuf menjerit kesakitan. Sudah 30 minit dia berkeadaan seperti bangkai hidup. Tubuhnya kedinginan, diikat pula pada tiang dengan hanya berseluar panjang, tanpa seurat benang pun di badannya. Sesekali digagahkan diri untuk membuka mata. Saat ralit melayan nasib dirinya, sepasang telinga capang itu pantas menangkap derap langkah sepatu kulit milik ketua mereka. Ya, 'mereka', bukan dia seorang sahaja terpaksa memperakui ketuanan lelaki berdarah Russia-Amerika itu. Sayangnya mereka yang lain tampaknya tidak mampu keluar daripada organisasi ini yang banyak menjanjikan kemudahan dan kesenangan hidup. Lapan tahun dia memperhamba diri kepada manusia durjana ini dengan harapan, adik perempuannya baik-baik sahaja menyarung kasut kehidupan seorang mahasiswi.
Mr. Owl merapatkan dirinya ke arah tubuh sasa Yusuf. Dicekak kasar rambut pemuda itu. Mata helangnya tajam menikam wajah sawo matang anak buahnya itu. Pemuda Melayu itu pernah mendapat tempat yang istimewa dalam hatinya. Dia sungguh kasihkan Yusuf Umair, bahkan dianggap sebagai adik sendiri. Siapa sangka akhirnya pemuda itu memilih jalan untuk mengkhianatinya. Yusuf lebih memilih menjadi api dalam sekam. Lelaki maskulin berusia awal 40-an itu meraup wajah beberapa kali, memori lama kembali menggamit suasana hatinya.
Sejak kecil menjadi mangsa pelecehan seksual oleh seorang paderi di sekolah agama Kristian berdekatan dengan taman perumahannya. Benar, Mr. Owl yang ateis tegar ini hakikatnya pernah tumbuh membesar dalam lingkungan keluarga Kristian Katolik yang taat. Namun, dia bukanlah seperti kebanyakan masyarakat setempat yang membuta tuli memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak gereja. Bukannya sekali dua, dia pernah melihat gadis cantik yang berpakaian sangat mencolok mata masuk ke bilik Father Eric, pastor termuda di gereja mereka. Bahkan beberapa kali dia terlihat Sister Dyana mencium bibir murid lelaki kelasnya dengan perlakuan yang mengghairahkan.
Bagi Mr. Owl yang berumur 11 tahun ketika itu, perbuatan tersebut sangatlah tidak normal bahkan menjijikkan. Dia sendiri pernah diminta untuk dibuka baju ketika membuat doa pengakuan dosa dalam sebuah bilik khusus. Sedang elok berdoa, dengan jelas dia dapat mendengar desah nafas yang lebih keras. Dapat dirasakan juga ada tangan lain merayap menyentuh belakang badannya. Sungguh dia tidak selesa. Elok sahaja dia ingin menjerit, mulutnya ditekup. Lantas, kedengaran suara berbisik rapat pada wajahnya...
"Tenang sahaja, bukankah kau sedang berdoa? Usah kau takut, Jesus ada bersama kau. Maka turuti sahaja apa yang aku katakan. Dosa kau akan diampunkan dengan syarat kau harus hadir ke gereja setiap hari Ahad. Masuk ke bilik ini senyap-senyap dan berbicaralah kepada Tuhan kita. Jangan takut, kerana aku akan datang menemani kau..."
Sejak peristiwa hitam tersebut, kehidupan kanak-kanak Mr. Owl tidak lagi secerah warna pelangi. Dia jadi takut untuk ke gereja. Sedangkan itu tempat mereka beribadah. Dia pernah menceritakan dirinya dicabul kepada datuk dan neneknya, dengan harapan mereka akan mempercayai dan membantunya. Bukan seperti kedua-dua orang tuanya yang terlalu taksub dengan ajaran gereja. Namun, tindakannya sia-sia. Usahanya tidak ubah seperti layang-layang melawan angin. Lebih parah, dia sampai dituduh telah dikuasai roh jahat, sehingga sanggup melemparkan kata tuduh terhadap pihak pengurusan gereja.
Kemuncak dia bertindak sebagai iblis yang bertopengkan manusia, adalah apabila adik lelakinya sendiri menjadi mangsa kerakusan nafsu ayah tiri mereka. Mr. Owl yang berusia 15 tahun ketika kejadian menyayat hati tersebut, menemui mayat Mike yang disahkan mati lemas dalam tab mandi di rumah. Selang beberapa hari, saat dia masuk ke bilik si adik kerana sudah tidak betah menahan rindu yang paling dalam, tanpa sengaja dia menemui sebuah buku lukisan. Entah mengapa saat dirinya menatap setiap lukisan, hatinya berubah sayu, geram, marah, sedih. Semua rasa bercampur menjadi satu kata. Dendam. Suatu perkara yang menyebabkan Mr. Owl pasti itu sememangnya perlakuan durjana ayah tiri mereka adalah kerana terdapat secebis kertas terselit pada buku lukisan tersebut.
"Saya sudah selamat sekarang, terima kasih Tuhan... "Saya tidak akan lupakan kau FATHER!"
Hasil bedah siasat mendapati, terdapat koyakan yang sangat teruk pada bahagian alat sulit adiknya serta beberapa lebam pada anggota tubuh yang lain. Ini menunjukkan mangsa telah dipukul dan didera demi memenuhi permintaan rakus 'binatang' tersebut.
Malangnya lelaki tak guna itu telah dibebaskan kerana tidak dapat dibuktikan bersalah selain tiada seorang pun saksi yang pernah melihat perbuatan terkutuknya itu. Rakaman kamera litar bertutup juga tiada untuk mengesahkan jenayah tersebut. Ayah mereka terlalu licik sehinggakan satu cap jari pun tidak dapat ditemui di mana-mana ruangan dalam rumah. Mana mungkin bukti dapat diperkukuhkan semata-mata melalui sebuah buku lukisan kanak-kanak. Ditambah pula, ayah tiri mereka merupakan individu berpengaruh dan dihormati masyarakat setempat kerana sikapnya yang rajin menyumbangkan dana dan idea bagi pelaksanaan aktiviti gereja. Mustahil orang ramai akan percaya, dialah dalang di sebalik kematian Mike. Mr. Owl berjanji, jika mahkamah tidak dapat menuntut keadilan untuk Mike, dia sendiri yang akan mencipta hukuman yang setimpal untuk lelaki itu.
Organisasi Innocent Love ditubuhkan ketika usianya baru mencecah 18 tahun. Dia mahu kanak-kanak lain mengalami penderitaan yang sama seperti adiknya. Suatu ketiadakadilan yang besar apabila seorang ayah yang seharusnya melindungi mereka bertindak kejam sedemikian rupa, bahkan menyebabkan Puan Hannah mengalami tekanan perasaan yang serius. Ibu mereka meninggal sebulan selepas kematian adiknya.
Selain itu, dia yakin mustahil manusia bernafsu serakah itu tidak akan menyedari kewujudan sebuah organisasi yang banyak memberi pelbagai perkhidmatan kepada individu pedofilia. Empat tahun selepas penubuhannya, dunia Amerika digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki lewat 50-an di sebuah pangsapuri mewah. Identiti mayat tersebut telah disahkan sebagai rakyat asli Rusia dan sudah hampir 15 tahun mendapat kerakyatan di Amerika Syarikat. Pihak polis tidak dapat menemukan sebarang motif berunsurkan rompakan atau seumpama dengannya. Tubuh mangsa juga berada dalam keadaan baik. Tiada tanda-tanda kecederaan luar, anehnya pihak hospital mendapati jantung lelaki tersebut tidak lagi berfungsi sejak seminggu yang lalu. Pembunuhan ini ialah pembunuhan terancang!
Ketua unit siasatan khas menyimpulkan bahawa ia merupakan sebuah pembunuhan terancang dan memerlukan kemahiran pakar bedah yang sungguh teliti. Buktinya, unit jenayah dan forensik telah menemui sesuatu yang pelik ketika membedah mayat tersebut. Sangat mengerikan apabila pada bahagian zakar, leher, kedua-dua tapak kaki dan tapak tangan serta bahagian bawah lidah mangsa telah dijahit dengan beberapa kepingan gambar. Ia seolah-olah menunjukkan pembunuh mahu bermain puzlle dengan mereka. Setelah dicantum kepingan gambar itu, mereka sangat terkejut. Itu ialah gambar kanak-kanak Rusia yang dikenali sebagai Mike. Kanak-kanak tersebut pernah mendapat liputan media massa seluruh dunia kerana kematiannya yang sangat tragis, selain pemangsanya belum dapat dikenalpasti. Di belakang gambar itu, tertulis ayat...
"Saya sudah membalas dendam untuk kau Mike. Dia sudah mendapat balasannya!"
Di dalam bilik bawah tanah...
“Kau dah kenapa hah budak? Ada aku cakap kau boleh berhenti? Ke kau dah lupa janji kau dengan kami, kau kena kerja untuk kami dan kami akan tanggung pengajian adik kau di universiti! Ouhh…Kau ingat, bila dah berhenti buat benda jijik ni kau akan selamat? Kau pun sama jaa laa! Kalau aku meringkup dalam penjara, takkan kau senang-senang pula boleh lepas".
"Dengar sini Yusuf, aku kutip kau dulu sebab aku kesian. Macam-macam kerja kau buat semata-mata nak dapatkan duit untuk adik kau. Dah macam mayat hidup aku tengok kau kat sini, tak terurus sampai dah lupa siapa Tuhan kau, terlalu sibuk cari duit. Sekarang kau nak lepas tangan macam tu jaa?”.
"Kau fikir Tuhan akan maafkan dan hidup kau selepas ni akan tenang? Engkau silap Yusuf, silap! Orang macam kita ni, silap-silap neraka pun tak mahu!"
"Bos, budak Malaysia ni memang selalu bersangka baik dengan Tuhan dia.
Pernah kot aku ikut dia senyap-senyap, ingatkan ke mana laa dia nak pergi. Ceh,
solat rupanya”. Sampuk Alex, orang kanan Mr. Owl yang juga pernah menjadi
kawan baik Yusuf sepanjang mereka bergelumang dengan kerja terkutuk ini.
Bezanya, Alex lebih kerap ditugaskan untuk menjual gambar-gambar tidak bermoral
itu kepada pelanggan-pelanggan yang berstatus VIP.
Ruang bawah tanah yang dingin mula bergema dengan tawa mengejek
kedua-dua manusia durjana itu. Si Alex, seorang agnostik berasal dari Korea
Selatan sering memperkecilkan orang yang beragama. Baginya pengetahuan berkenaan
kewujudan Tuhan itu bukanlah sesuatu yang boleh dicapai oleh kemampuan akal. Tidak
akan pernah ada kebenaran yang bersifat mutlak. Tapi untuk menafikan kewujudan
Tuhan sepenuhnya juga bukanlah prinsipnya. Hanya sahaja dia tak pasti Tuhan itu benar-benar ada atau tidak.
Namun tanpa sesiapa sedar, jauh di lubuk hati Alex, dia pernah
mengagumi sikap Yusuf yang sentiasa percaya Tuhan pasti ada untuk mereka
yang memerlukan-Nya. Teringat dia akan perbualan bersama Yusuf, lima tahun lepas.
“Yusuf, baca buku Arab ka tu. Pandai pula kau cakap Arab yaa…” Sergah Alex kepada Yusuf yang sedang lusyuk membaca sesuatu.
“Ishh, kau ni, terkejut aku. Nak kata pekak, elok aje aku
tengok. Kan dah berkali-kali aku pesan, nak masuk bilik, ketuk dulu pintu. Kang
kepala kau pula yang aku ketuk”.
“Untuk makluman kau, Encik Yusuf Umair, jari aku ni dah sampai
bengkok punya ketuk pintu tadi. Silap hari bulan, berlubang juga pintu kayu kau
tu. Diri sendiri yang tak dengar…Haa, soalan aku kau tak jawab lagi, buku apa
yang kau pegang tu?”
Yusuf menghela nafas berat…Dadanya tiba-tiba terasa sempit.
“Macam mana kalau budak bertuah ni cerita dekat Bos, bukan boleh
percaya mulut tempayan sorang ni”, desis Yusuf.
“Abang Yusuf handsome…Kalau kau tak bagitau aku, sekarang juga aku
laporkan kepada Bos yang kau ada buku rahsia dalam Bahasa Arab”. Macam kau tak
tau, Bos cukup pantang dengan orang yang suka berahsia, tambah lagi kau yang
dia dah anggap macam adik sendiri”.
Yusuf dengan cepat menutup mulut Alex. Lantas menarik lengan pemuda
itu untuk duduk bersebelahan dengannya.
“Kau jangan cari pasal Alex. Buku rahsia apanya…Ni al-Quran, kitab
kami orang Islam. Kami orang Islam wajib percaya
pada Quran dan Hadis Nabi.”
“Kejap, kau nak kata yang kau, seorang yang bekerja dengan komuniti pedofil, sekarang sedang baca kalam Tuhan? Tak faham aku, Tuhan kau tak marah ka ada orang baca Kalam Dia dekat
tempat macam ni? Dosa kita ni sangat
keji, jijik, hina! Kau jangan buat lawak Yusuf…”
Alex bingkas bangun, ingin meninggalkan Yusuf. Dirinya betul-betul
tak faham sikap pemuda yang tua dua tahun daripadanya ini. Terlalu sukar untuk
dia percaya!
Yusuf dengan cepat menyambar lengan Alex.
“Bro, agama aku ajar, sejauh dan sedahsyat mana pun kesalahan dan
keaiban seseorang, Tuhan tetap akan terima selagi mana kami mahu kembali kepada-Nya. Aku tak
tahu bila aku akan berubah, tapi satu doa yang aku tak pernah lupa adalah
dengan meminta Tuhan memandang aku sebagai hamba yang perlukan pertolongan-Nya
untuk keluar daripada maksiat ni. Aku nak keluar Alex, kau pun tahu awalnya aku bukan
macam ni, tapi sebab duit Alex, aku terpaksa…"
Sebelum Alex melangkah keluar dengan hati yang sedikit sebal dan
penuh dengan persoalan, Yusuf sempat membisikkan sesuatu kepadanya…
“Aku tak nak buat dah laa kerja kotor ni! Aku tak sanggup
tengok banyak lagi kanak-kanak jadi mangsa kita. Aku…Aku kesian!”
“Alex, kau ingat kan apa yang aku cakap dengan kau dulu?”
Yusuf cuba mendapatkan kekuatan yang masih tersisa, kepalanya diangkat.
Anak mata hitamnya menatap penuh harap wajah lelaki bermata sepet itu. Malangnya,
Alex hanya mengerling sekilas ke arahnya lalu dengan cepat berjalan ke arah pintu. Dia melagkah keluar dengan hati yang berat.
“Maaf, maafkan aku Yusuf…Kalau kau pergi, aku macam mana?” Bisik
hati kecil dia.
“Bos, aku cau dulu. Nak hantar barang dekat Miss Florest. Nanti lambat, bising pula perempuan tu”. Jerit Alex sebelum terus melangkah laju.
Kebenarannya, tiada pun pelanggan yang menunggu. Sekadar alasan kerana tidak sanggup melihat
Yusuf terus diseksa, sedangkan dia tak mampu berbuat apa-apa. Dikesat air mata lelakinya.
Hatinya rawan, bagai ditusuk sembilu mengenangkan wajah sang sahabat bermandikan
darah.
“Tuhan, jika betul Kau memang wujud, bantulah Yusuf, tolong dia!”
Alex tidak sedar apa yang dia baru sebut. Fikirannya benar-benar kusut. Hatinya penuh dengan kesal, kecewa dan marah yang teramat. Kenapa Yusuf mesti buat pilihan untuk pergi?
Dushh !.
Satu tumbukan
kuat di dilayangkan ke perutnya pula. Darah pekat menyembur keluar dari bibir. Yusuf yang
sudah tidak betah, jatuh rebah di lantai marmar yang sejuk itu.
Matanya berbinar-binar. Penghawa dingin dalam ruangan bawah tanah itu
seolah-olah tidak berfungsi. Seluruh badannya terasa panas.
“Yusuf, Yusuf. Takkan lapan tahun ni kau tahan nafsu setiap kali cuci
gambar budak-budak tu. Sikit pun kau langsung tak terangsang? Aku tak
bodohlah Yusuf, cara kau pandang budak Kelvin 10 tahun tu pun dah lain macam.
Nak berlagak suci lagi?”
“Dah Namanya Iblis, takkan boleh berubah jadi malaikat pula!”
"Hah hah hah!!!
Di sebuah perkampungan Melayu utara Malaysia, heboh tentang cucu lelaki Pak Ngah Mat dibawa ke hospital setelah mengadu mengalami kesakitan pada bahagian zakarnya. Berita seperti itu cepat tular disebabkan kerja wartawan tak bertauliah, Kak Kiah Kepoh yang tanpa sengaja telah terdengar perbualan antara Pak Ngah Mat dengan isterinya. Habis dicanang satu kampung aib kanak-kanak tersebut, atas alasan agar orang kampung lebih berhati-hati.
Keadaan menjadi semakin serius, apabila Pak Ngah Mat sendiri pergi menyerang rumah Mikael. Dah serupa orang kena rasuk, Pak Ngah Mat terjerit-jerit meminta Mikael keluar bersemuka dengannya. Habis mengamuk teruk orang tua itu sebelum pihak polis datang untuk menahan Mikael untuk siasatan lanjut di bawah Akta 792, Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Hal ini berikutan laporan pemeriksaan oleh doktor mendapati terdapat sedikit luka pada kemaluan Rayyan selain mangsa menunjukkan perubahan sikap yang ketara seperti menjadi terlalu takut apabila disentuh oleh individu lain termasuklah doktor yang merawatnya. Pihak polis masih belum boleh mendapatkan pernyataan daripada mangsa disebabkan kanak-kanak itu masih memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi sebarang respon.
2 jam sebelum itu...
"Hang tengok ni cucu hang, Mat oii. Dok tak pasai dia kata sakit bila nak kencing. Sebelum ni elok jaa Yah tengok dia dok main dengan Mikael, anak bongsu Limah yang tingkatan lima tu. Tiba-tiba, balik tadi dia terus berkurung dalam bilik. Tak mau cakap apa langsung. Pujuk punya pujuk, baru dia cerita. Mikael dok pegang-pegang zakar dia, cium pipi dia tak mau-mau. Sebelum ni selalu selak baju, pastu usap-usap perut dia. Mikael kata, kalau Rayyan bagitau orang lain, Mikael tak mau teman dia main dah. Tu yang baru hari ni Rayyan bagitau, dia sakit sangat dah tu. Yah risau laa abang, buatnya si Mikael tu buat baik depan kita jaa, belakang dok penaya budak Rayyan tu. Kawan tu baru darjah satu, tau apa dia benda tu betui ka salah. Cuma dok habaq kata tak selesa laa, sakit laa”.
"Laa, yang Yah dok pulun percaya dah kenapa? Cucu kita tu mengada lebih, bukannya sakit teqa mana pun. Entahnya, basuh kencing tak bersih kot, tu yang gatai. Mikhail tu laki, jarak umur dia jauh beza dengan Rayyan. Apa kejadahnya laa dia nak buat dekat budak kecil macam tu. Selama ni pun bila nak bawa Rayyan pi mana-mana, elok jaa dia mai jumpa kita minta izin. Lagipun kawan tu sekolah agama, takkan laa dia berani buat benda lagu ni."
"Yah dah agak, ceqita kat abang bukannya abang nak percaya. Balik-balik cucu sendiri yang salah. Yah tak kira, Yah nak bawa dia pi jumpa doktor. Buatnya betul, abang tak kesian kaa kat Rayyan. Zaman laa ni macam-macam boleh jadi bang oii, haruan makan anak pun banyak!”.
Pak Ngah Mat menarik nafas dalam sambil mengurut dadanya. Istighfar panjang dia. Kalau betul laa si Mikhail yang buat Rayyan sampai begitu sekali, memang cari nahas sungguh budak tu. Silap besar, mati si Mikael tu Pak Ngah Mat tetak dengan parang karat yang tergantung elok dalam biliknya.
Bukannya Pak Ngah Mat tak pernah baca kisah lima orang budak lelaki yang jadi mangsa culik dan rogol seorang lelaki dewasa di Amerika. Berita tersebut hangat diperkatakan media-media luar dan dalam negara. Perbuatan keji dan terkutuk tersebut berjaya dikesan oleh salah seorang ibu mangsa yang telah kehilangan anaknya selama setahun lebih. Beliau tidak berputus asa menuntut keadilan bagi anak lelaki tunggalnya. Kesabaran dan kesungguhan wanita tersebut membuahkan hasil apabila pihak polis dengan kerjasama masyarakat setempat, telah berjaya menemui markas suspek berusia 40 tahun itu. Rupa-rupanya suspek merupakan salah seorang ahli organisasi gelap yang dikenali sebagai 'Innocent Love'
Menurut akhbar yang pernah dibaca, organisasi tersebut berpusat di Amerika Syarikat dan mempunyai ahli yang terdiri daripada golongan mahasiswa, elit dan profesional. Ia mensasarkan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia 3 sehingga 17 tahun. Bahkan tidak terkecuali daripada perbuatan terkutuk ini ialah kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya down syndrome.
Di samping itu, pihak polis mendakwa, individu pedofil yang menjadi ahli ini sukar dikenalpasti kerana mereka bijak menyembunyikan wajah sebenar dengan menjadi orang yang berkepentingan dalam masyarakat. Buktinya, pengasas mereka sendiri merupakan doktor psikatari yang banyak membantu kanak-kanak gelandangan yang mengalami PTSD. (Post- Traumatic Stress Disorder). Perkhidmatan rawatan tersebut pula diberikan secara percuma di klinik beliau sendiri. Maka, senanglah doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Gilbert Owl itu mempermangsakan kanak-kanak naif tersebut.
Perkara yang paling menimbulkan kegusaran orang ramai ialah, terdapat seorang pemuda yang terselamat daripada menjadi buruan polis. Identitinya masih menjadi bualan orang ramai kerana ada khabar angin yang menyebut, lelaki itu telah berjaya meninggalkan markas tersebut selepas sebuah kejadian mengerikan, kata mereka dia telah dibelasah dan dipukul dengan sangat kejam dan langsung tidak berperikemanusiaan. Tiada siapa pun tahu keberadaan dia. Masih hidup atau sudah mati. Mungkinkah masih hidup, namun dengan memakai ‘topeng’ yang lain pula? Adakah dia sebenarnya lebih rela menyerahkan diri kepada pihak berkuasa kerana tidak lagi mampu menanggung dosa dan kesalahan silam yang menghimpit dirinya? Lelaki misteri itu terus kekal menjadi sorotan hangat media selama lebih kurang setahun. Tiada sesiapa yang tahu dia siapa, mungkin sampai ke hari ini? Bagaimana, jika dia ialah seseorang yang kita kenali?
Bunyi guruh berdentum, menyedarkan lamunan panjangnya. Rupa-rupanya Mak Ngah Yah, telah menelefon berkali-kali namun tidak dijawab. Sebentar tadi cuaca masih elok lagi, cuma langit seakan mahu menangis sendu. Seolah-olah ia faham galau yang meragut ketenangan orang tua bertubuh kurus itu. Fikirannya mula dipagut resah. Segera dia mencapai kunci motor kapcai lamanya dan menuju ke hospital.
“Abang… Cucu kita bang, Rayyan. Sampai hati dia buat lagu tu kat Rayyan. Rayyan tak pernah kacau orang, kawan pun dia tak dak. Mikhail jaa yang sudi bawa dia pi kedai laa, ronda-ronda keliling kampung. Tapi budak tu juga yang buat naya cucu kita. Abang…Abang, Yah takkan maafkan lepa sekeluarga…”
Pak Ngah Mat hanya mampu memeluk lembut isterinya. Diusap-usap belakang badan Mak Ngah Yah, cuba menenangkannya. Dia sendiri merasakan diri telah gagal menjaga keselamatan cucu tunggalnya itu. Terlalu percaya anak jiran sebelah rumahnya. Tidak pula dipesan kepada Rayyan, jangan dibiar orang lain sentuh tubuh badannya sesuka hati termasuklah Mikael yang sudah dianggap seperti abang kandung sendiri. Abang Khail, itulah gelaran Rayyan kepada manusia zalim tersebut. Hatinya benar-benar meruntun, emosinya kacau. Bagaimana untuk memahamkan sang cucu tentang apa yang sudah berlaku.
Pak Ngah Mat
hanya duduk di bangku luar bilik wad Rayyan. Ditanggalkan kaca matanya, sambil
menghapus air mata yang laju mengalir. Ditoleh ke arah wajah isterinya yang
sedang lena keletihan sambil menyandarkan kepala di bahu sang suami.
Benar, 45 tahun mereka hidup bersama, inilah satu-satunya ujian yang tidak
pernah mereka bayangkan akan menimpa kudrat tua mereka.
Teringat kata-kata Dr Ubaidillah Thorique sebentar tadi...
"Pak Cik dan Mak Cik kena bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku dalam kehidupan Rayyan selepas ini. Raikan perubahan dia seperti sikapnya yang akan banyak mendiamkan diri, sentiasa berkurung atau bersikap lebih agresif pada masa-masa tertentu. Apa yang saya maksudkan, kita kena belajar terima dia bukan lagi Rayyan yang dulu. Bukan apa, saya pesan ni sebab ada waris yang tak boleh terima perkara ni jadi kat anak dia. Habis dimarah, kata tak pandai jaga diri laa, kenapa baru nak bagitau, padahal dah kena banyak kali. Lagi teruk, ada yang lansung tidak pernah cuba membantu mangsa untuk kembali bangkit semula dengan mendapatkan rawatan dan terapi sewajarnya." Haihh, naik hairan saya dengan mak bapak macam ni punya perangai. Sikit-sikit, anak yang salah. Sampai dah jadi teruk lagu ni pun, masih tak mau percaya. Lebihkan lagi anak oqang lain hat sebenarnya pemangsa, cumasebab dia nampak baguih jaa."
Lelaki tua berbaju pagoda dan berkain pelikat itu tekun mendengar segala nasihat dan pesanan Dr. Ubaidillah. Sesekali dirinya terangguk-angguk cuba menghadam segala burit kata doktor muda itu. Yaa, seperti dia. Awal-awal lagi, sudah salahkan Rayyan, tidak percaya memandangkan cuku tunggalnya itu masih kanak-kanak polos yang manja. Sekarang, dirinya masih sukar menerima kenyataan ini, namun Tuhan sahajalah yang menghendaki segala sesuatu. Tuhan tahu hikmahnya dan tidak akan pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.
“Apa yang
penting, kita sebagai penjaga kepada mangsa, kena berusaha sebaik mungkin untuk
mengembalikan zaman kanak-kanak yang sepatutnya Rayyan lalui. Payah memang
payah, sebab mangsa bukan sahaja akan menyimpan perspektif yang buruk terhadap
individu sekelilingnya. Yang lebih teruk, ada mangsa hilang kepercayaan diri. Merasakan dirinya
teraniaya, jijik. Sesetengah kes pula, mangsa mula berperwatakan seperti
pemangsa. Bila dah dewasa, dia pula cuba buat benda yang sama kepada orang
lain”.
“ Nauzibillahi
min zalik…Dr, doakan saya dan isteri
kuat. Kami kena kuat…Rayyan dah tak dak sapa dapa dah dengan dia. Kami
dua jaa yang dok bela dia dari dulu. Mak ayah dia mati kemalangan. Kes langar
lari Dr…”
Comments
Post a Comment