20/4/2023
Suatu hari ni, saya diberi amanah untuk mengganti sebuah kelas murid tahun 6. Kelas murid-murid yang sudah terbiasa dengan gelaran 'murid kelas belakang', 'budak-budak ketinggalan' dan bermacam lagi panggilan yang dikhaskan untuk mereka. Sebenarnya, sudah banyak kali menjadi guru ganti kelas tersebut. Jadi walaupun tidak ingat sangat semua nama mereka, saya masih dapat kenal muka setiap seorang. Bagusnya, anak-anak ini juga rajin sapa dan tegur jika bertemu kami di mana-mana dalam kawasan sekolah, sekalipun kami bersepuluh hanya guru praktikum di situ. Perkara ini membuatkan saya sentiasa percaya, akhlak seseorang murid bukanlah berdasarkan mereka dari 'kelas depan' atau 'kelas belakang'. Yaa, nakal memang nakal, sekolah mana sahaja yang tiada murid nakal. Namun, entah mengapa hati saya sentiasa tertarik untuk mengenali 'budak-budak kelas belakang' ini dengan lebih dekat. Tetapi tidaklah bermaksud, saya bersikap lebih kurang sahaja terhadap murid-murid kelas hadapan dengan alasan, mereka sudah baik dan berdisiplin, maka tidak perlukan lagi perhatian yang selayaknya daripada saya. Setiap murid memerlukan guru yang sentiasa ada untuk mendengar, di samping meraikan cerita-cerita hidup mereka yang unik.
Nak dijadikan cerita, setelah termakan pujuk rayu budak-budak ni, terpaksalah bersetuju bawa mereka ke perpustakaan. Mereka tak tahu, sebenarnya ustazah pun ikut teruja nak ke library. Suasana dalam perpustakaan ketika itu, bak kata kami geng utara...
"Jenuh nak beletiaq. Dok bising lagu tu laa. Kita maqah sat, sat ni bising balik!".
Sepanjang memantau murid-murid, saya perasan seorang pelajar perempuan yang sebelum ni sangat ceria dan bising seperti rakan-rakannya yang lain, hanya duduk diam seorang diri. Kawan ajak main kad UNO pun dia tak nak, ajak menyembang lagi laa dia terus diam. Saya cuba ajak berbual, pun masih sama. Hanya menggeleng. Hairan saya, sikapnya berubah total pada waktu itu. Kata orang, takkan pokok bergoyang kalau tidak dtiup angin kan? Saya yakin ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Elok jaa dia minta izin untuk ke tandas, saya pun cuba laa korek cerita daripada kawan-kawannya. Mereka kata mungkin sebab ada salah faham, itu yang sampai bermasam muka (bahagian ni saya terpaksa reka, sebab memang tak ingat dah jawapan mereka. Banyak sangat spekulasi demi spekulasi yang diberikan).😂
Kembali sahaja ke library, terus nampak dia duduk di belakang meja guru. Hanya menunduk ke bawah sambil memeluk kepala lutut. Saya pun, cepat-cepatlah ke sana. Naluri seorang guru menyebabkan perempuan berusia 22 tahun ini, ikut melabuhkan punggung atas karpet, duduk berhadapan dengannya. Pilihan yang saya ada ketika itu, hanya diam membisu tanpa sebarang kata. Sesekali saya usap lembut belakang badannya dan sepasang telinga ini setia mendengar si dia menangis. Tidaklah sampai teresak-esak, namun cukup meruntunkan jiwa sesiapa yang berada di situ. Setelah beberapa minit, diangkat wajahnya. Tangan kanannya memegang sekeping kad.
"Awak kenapa, ada apa-apa masalah ke? Ka tak sihat kat mana-mana?"
Dia menggeleng. Saya bertanya lagi.
"Ada apa-apa nak kongsi dengan Ustazah, meh cerita."
"Ustazah tak boleh laa tengok orang nangis ni, nanti ustazah pun sama menangis".
Kata saya dengan harapan dia sudah bersedia berkongsi rasa dengan saya, seorang perempuan asing pada pandangan orang lain, tapi mustahil untuk saya buat-buat tak tahu, sedang ada ikatan kuat antara seorang guru dan murid. Saat ini, sungguh saya menyedari akan suatu perkara mengenai tugas seorang guru. Berhadapan dengan situasi seperti ini benar-benar membuat saya mengerti bahawa untuk menjadi seorang pendidik yang baik, juga bererti kita perlu bersedia untuk menerima dan meraikan apa-apa sahaja emosi dan perasaan yang dipamerkan anak murid. Mungkin, saya yang sudah dewasa ini tidak muat menyarung kesemua 'kasut' kehidupan mereka yang masih berjiwa kanak-kanak, namun saya juga pernah menjadi anak kecil dan jatuh tersungkur berkali-kali ketika mendaki tangga kehidupan sebagai seorang remaja perempuan. Situasi yang tidak sama, tetapi saya masih boleh memahaminya. Mungkin tidak sepenuhnya memahami, tapi cukup ada untuk mereka ketika sedang diuji.
"Saya rindu ayah..."
PANG!
Seperti ada yang menampar saya dengan sangat kuat. Tubuh ini kaku seketika, dan sekali lagi pipi ini kembali basah. Tidak saya sangka, sebaris ayat itu yang akhirnya terbit dari bibirnya yang sekian lama terkunci rapat. Hati kecil ini terus berubah sayu seakan turut dapat merasa sakitnya ditikam sembilu rindu. Rindu seorang anak kepada lelaki yang benama ayah ialah bentuk rindu yang terlalu sukar diceritakan. Kami enam adik-beradik sendiri amat payah mengungkapkan kata ini, bahkan untuk mak juga tidak. Ada tapi seolah tiada. Mungkin sahaja kerana didikan keluarga ini yang sangat jarang sekali menzahirkan kata cinta, sayang dan rindu. Alhamdulillah, ia tidak sampai mengikis sikap keprihatinan kami terhadap satu sama lain. Setiap daripada kami berusaha menjaga yang lain dengan cara masing-masing. Saya yakin, rakan-rakan yang rapat dengan saya pasti perasan, sikap diri ini yang sukar mengucapkan 'selamat hari lahir' atau mesej-mesej bernada romantis kepada mereka sekalipun kepada sahabat rapat. Bukan bererti saya sombong, bukan juga kerana terlupa, hanya sahaja lebih selesa menitipkan nama-nama kalian dalam setiap doa. Ayah misalnya, selalu terlupa tarikh lahir kami 😂 Namun, lelaki yang kini kian menjengah usia 56 tahun ini, sering tidak lekang senyuman saat membuka cerita tentang kejayaan anak-anaknya. Mak pula sentiasa meraikan kami dengan masakan-masakannya yang enak selain tidak jemu menasihati kami. Setiap keluarga itu berbeza, punya cara tersendiri bagi menghidupkan kasih sayang dalam rumah. Tanpa saya sedar, bibir ini menguntum senyum penuh suka.
"Ustazah, ustazah, kenapa dengan Iman (bukan nama sebenar)?"
"Awat dia qeyau ustazah?"
"Dia okay ka?"
"Ada sapa-sapa buat (ganggu) dia ka?"
Bertubi-tubi soalan yang diajukan menyedarkan saya dari lamunan panjang. Beberapa orang murid lelaki dan perempuan sudah mengelilingi kami. Murid-murid lain turut memusatkan perhatian kepada kami berdua. Tidak mahu suasana menjadi semakin kecoh, saya meminta mereka kembali membuat kerja masing-masing. Seterusnya, pandangan saya kembali terpaku kepada kad yang erat digenggam oleh murid tersebut. Rupa-rupanya, sedari tadi yang dia pegang ialah lesen memandu seseorang. Hati saya terdetik...
"Kenapa bawa mai lesen kat sekolah, tak bahaya ka buatnya ada orang ambik satni?
"Ni gambar ayah" (sambil dia menyua lesen tersebut kepada saya).
"Saya selalu ngusik ayah. Dok main dengan dia."
"Laa ni tak dak sapa dah nak main dengan saya. Ayah meninggal sebab sakit jantung..."
Allah! Serba salah saya dibuatnya. Tidak mahu keadaan tegang mengisi ruang, saya mengambil peluang yang ada untuk memintanya menceritakan kenangan bersama arwah. Anak perempuan ini kembali terlihat sedikit ceria, penuh bersemangat setiap kali menyebut tentang ayahnya, meskipun sesekali dia cuba berlagak kuat menahan sebak di dada. Saya yang mendengar cuba membayangkan betapa dia sangat rapat dengan arwah. Kuasa dan kehendak Allah, anak ini yang sudah menghampiri usia remajanya, cuma boleh memeluk hangat batang tubuh lelaki itu hanya untuk tempoh 11 tahun. Lebih menyedihkan, lesen tersebut sudah patah sedikit, mujurlah pada bahagian wajah ayahnya masih jelas dilihat dan tidak rosak. Katanya, cuma ini sahaja gambar ayah yang dia miliki. Mungkin masih ada lagi gambar ayahnya yang lain, tetapi yang dia miliki di tangan sendiri, sekadar gambar yang terdapat pada lesen tersebut.
Saya mengerling jam, sudah hampir tamat waktu kelas. Maka, saya meminta murid perempuan ini untuk mempercepat langkah ke tandas bagi mebersihkan kesan-kesan air mata. Biar tampak lebih segar untuk kelas berikutnya. Sementara itu, saya sempat berbual-bual dengan rakan-rakannya dan menerangkan kepada mereka tentang apa yang terjadi.
"Boleh ustazah tahu dalam kelas ni, ada lagi tak yang anak yatim selain Iman?"
"Amin (bukan nama sebenar) ustazah, ni yang botak ni".
" Saya ustazah, yatim piatu. Mak dengan ayah dah tak dak, saya tinggai dengan tok."
Jawab seorang murid lelaki dengan nada yang bersahaja. Tidak kelihatan sebarang riak pada wajahnya. Bukan kerana anak lelaki ini tidak rindu atau tidak tahu bagaimana untuk menangis. Siapa saya untuk menilai dia. Barangkali setiap lena malam, yang dia pinta cuma supaya Tuhan menghadirkan sosok sang ibu dan ayah dalam mimpi-mimpi kecilnya.
Kring!!!
Perkongsian ini cuma cebisan pengalaman sepanjang saya berpraktikum pada tahun 2022. Anak-anak ini juga sudah melangkah ke alam sekolah menengah, permulaan dunia remaja yang lebih mencabar.
"Terima kasih untuk segala rasa yang dikongsikan dalam halaman-halaman cerita kalian. Semoga saja kamu semua terus tumbuh untuk sembuh, lalu menjadi manusia hebat yang teguh dan kukuh nilai-nilai kehidupannya. Semoga juga kalian terus diberi kekuatan untuk menghargai setiap pengalaman hidup ini dengan sabar dan ikhlas."
"Terima kasih kerana mampu bangkit menempuh 'musim-musim tengkujuh,'
yang acap kali menyebabkan jiwa dan semangat juang bertukar rapuh."
"Terima kasih kerana tetap tabah, walaupun ada orang-orang
yang menganggap kita ini manusia bedebah."
"Terima kasih dan semoga kalian sentiasa baik-baik saja..."
Bagus, 5 ⭐⭐⭐⭐⭐ utk tulip biru
ReplyDeleteFuh,sapala lagi 9 guru praktikum tu,penulisan yang baik
ReplyDeletePerkongsian yang baik 👍
ReplyDelete