CERPEN: KASIH ABANG (belum siap)

15 Jun 2023


  "Eh Abang, kau tak balik lagi? Sudah-sudah laa tu kerja. Esok ni, boleh sambung. Tahu laa kau orang muda pun, tapi kena juga jaga kesihatan. Aku tengok, dah dua minggu kerja, kemudian kerja lagi. Langsung tak berehat. Kau bukannya ada anak bini nak sara pun. Setakat sehari dua  ambil cuti,  tak rugi pun aku". Pak Abu bersuara mematikan suasana sunyi sejak tadi.

  "Alaa Pak Abu ni, takpalah...Saya larat lagi. Alang-alang, badan tengah sihat sekarang, baik saya pulun cari duit. Minggu depan, seorang adik  saya nak kenduri. Saya ingat, nak bagi hadiah kat dia. Tak mewah, tapi ada laa juga benda boleh bagi kan?" Jawab Abang sambil berusaha meletakkan seguni kelapa sawit di atas bahunya. Dia sangat bersyukur, sebab Pak Abu sudi menerimanya kerja di ladang tersebut, sedangkan selama ini, sebelah matapun masyarakat tidak sudi memandangnya. Jika ada pun, cuma sorotan mata tajam yang melihatnya penuh sinis dan prejudis.

    "Abang, Abang...Naik hairan aku dengan kau sorang. Mereka semua tu, dah buang kau. Lempar macam kain buruk. Pijak-pijak maruah kau,  masih lagi nak buat baik?" Soal Pak Abu kehairanan.

    Abang dah tahu, memang itu sajalah modal Pak Abu bila dia buka cerita tentang keluarganya. Lelaki berusia awal 60-an itu tak habis-habis persoalkan kenapa dia masih mahu bersikap baik dengan  dengan adik-beradik dan ibu bapanya. Bukanlah dia lupa, malah hampir setiap malam dia bermimpikan perkara yang sama. Wajah garang ayah yang memaki hamun dirinya, disepak terajang sampai diheret keluar dari rumah  dan  paling menyedihkan, tiada seorang pun daripada tiga adik lelakinya  sudi menghulur tangan, mengangkat tubuhnya yang sudah mencecah lantai bumi. Pandangan benci, amarah dan dendam sahaja yang bermukim di hati mereka kala itu. Seolah-olah, kesalahannya yang satu itu telah mencemarkan hubungan darah yang mereka kongsi bersama. 

  Ya...Hanya kerana peristiwa hitam  yang berlaku 10 tahun dahulu. Abang berkali-kali berusaha pulang ke rumah, mahu berjumpa keluarganya dan meminta maaf. Lebih tepat lagi, dia mahu menjelaskan perkara sebenar yang berlaku. Malangnya,  mereka masih menganggap dia  seperti bedebah yang tiada arah. Diusir dari kampung sendiri seperti sampah masyarakat, dicemuh, dihina bahkan ada yang sanggup melemparkan kata nista  bahawa Abang juga pernah mencuri, sedangkan dia langsung tidak pernah melakukan perbuatan hina tersebut.

Abang kembali terduduk di atas pangkin milik Pak Abu. Kenangan silam yang menghantui dirinya, sudah 10 tahun menjadi bayang-bayang dalam hidupnya. Seolah, tidak pernah mengizinkan dia menikmati hangat pelukan sang mentari dan indahnya lagu-lagu pungguk kepada bulan. 

10 tahun lalu...

   "Geng, malam ni jom lepak. Abang, meh laa petang ni, lepak sekali.  Dah lama kau tak lepak  dengan kami. Bukannya nak buat apa-apa pun. Sembang, makan ringan sambil tengok cerita. Aku ada download cerita baru kot. Cerita hantu, mesti kau suka punya!" Seloroh Zuhair kepada Abang.

  "Ok laa, tapi sebelum pukul 10 malam, aku kena balik dah. Masak nanti, dibedal ayah aku kalau balik lambat". Kata Abang dengan nada sedikit risau.

  "Ikut kaulah abang, asal datang  lepas maghrib nanti. Macam biasa, jumpa sana." Pesan Zuhair sebelum mereke berempat pulang dahulu.

   Mereka berlima sudah rapat sejak kecil, walaupun hakikatnya berbeza usia. Abang yang paling tua, 17 tahun. Zuhair dan Ziyad, si kembar tak seiras baru nak masuk 16 tahun. Umar 15 tahun, manakala sepupunya Umair,  paling muda antara mereka semua, bulan depan baru genap usianya 13 tahun. Antara mereka, Umar sahaja sudah tidak sekolah. Dia sendiri yang nak berhenti dan bantu Ayah Ngah kerja bagi mendapatkan duit. Puas Ayah Ngah dan mereka yang lain pujuk  agar tetap ke sekolah, namun tak  berhasil. Bagi Umar, di mana-mana pun ada ilmu, bahkan dia percaya banyak juga orang berjaya hasil didikan yang diperoleh dari sekolah jalanan. Kejap, Umar bukan anti sekolah yaa, cuma dia sedar hidup kais makan pagi dan kais petang makan petang seperti mereka sangatlah tidak mudah. Kudrat Ayah Ngah bukannya kuat mana pun. Beberapa kali, dia sedar  Ayah Ngah kerap terjaga pada tengah malam, terbatuk-batuk saat anak-anak sedang lena dibuai mimpi yang tidak pasti. Dia kasihan, dia mahu bantu tapi, adakala yang ada cuma  buntu. 

"Sungguh ka apa yang kita nak buat ni? Aku rasa kesian kat Abang. Anak-anak kampung yang lain, mana ada yang nak kawan dengan kita. Abang sampai anggap kita ni adik-adik dia. Kita pula nak buat kat dia lagu tu nanti!" Luah Umair dengan pekat loghat utaranya.

"Apalah kau Umair, sebab sayang abanglah kita buat macam ni. Nanti, kalau Abang dapat SPM elok, mesti mak ayah dia hantar  mengaji jauh-jauh. Universiti hebat-hebat, kat KL ka, mana ka? Lepas tu, kita langsung dah tak boleh jumpa Abang, silap-silap, dia yang tak ingat  kita nanti." Tegas Ziyad bersuara.

"Tapi macam mana, kalau Ayah Wan marah gila-gila, buatnya dia halau Abang dari kampung ka? Lagi laa kita dah tak boleh jumpa Abang. Aku tak mau hilang Abang..." Kendur sahaja suara Umar meluahkan.

    Pertanyaan Umar membuatkan si kembar Zuhair dan Ziyad membungkam. Bukannya orang kampung sini tidak tahu, perangai baran Ayah Wan bila  tengah marah dan geram. Tapi, ini sahaja cara supaya Abang tak pergi jauh daripada mereka. Remaja-remaja lain mana ada yang mahu berkawan dengan mereka. Anak yatim, miskin dan bodoh dalam pelajaran. Dia suka Abang. Selalu ajak mereka solat jemaah di masjid, pertahankan mereka setiap kali ada jemaah lain  bersikap dingin terhadap mereka. Perkara yang paling dia tak boleh lupakan, setiap hari mereka akan berehat bersama di padang sekolah. Umair sahaja tidak, memandangkan dia rehat tahap satu. Jauh daripada bunyi bising di kantin, jauh juga daripada beberapa pandangan mata yang asyik menikam sukma mereka dengan penuh sinis. Senyum mereka tidak pernah dijawab manis, bahkan oleh segelintir guru. Sebab mereka tak berduit, tinggal di rumah yang sempit, tidur berhimpit-himpit. Benar, mereka berempat tinggal di rumah yang sama. Rumah buruk milik Ayah Ngah. Tuhan telah mempertemukan anak-anak remaja lelaki itu melalui kasih sayang lelaki berusia 60 tahun  yang juga merupakan ayah kandung  pasangan kembar tak seiras Zuhair dan Ziyad. Dia lelaki yang tidak sempurna. Berjalannya tempang, tutur katanya tidak jelas disebabkan bibir yang sumbing, sehinggakan si isteri pergi meninggalkan rumah kerana sudah tidak betah hidup dengan lelaki seperti dia. Moga, lelaki itu hari-harinya sentiasa di dalam jagaan Tuhan, di bawah payungan sayap malaikat-Nya.


Malam kejadian


"Wei, sempat lagi ni kalau kita nak batal 'projek' kita ni. Aku tak sedap hati laa. Tak boleh bayang aku muka Ayah Wan marah Abang nanti." Luah  Umar sedikit resah.

"Ishh, kau ni, aku yakin Ayah Wan tak kan laa sampai hati nak halau Abang. Anak sulung dia kot. Kita cuma tak nak terpisah jaa dengan Abang, bila dia sambung belajar nanti. Sebab tu laa kita buat macam ni." Ujar Zuhair cuba menenangkan si Umar.

"Dah, dah! Dok bincang apa lagi. Tak nampak ka tu Abang dok jalan mai sini dah. Lekaih, ambik 'port' masing-masing. Yang penting 'benda' nak letak dalam air Abang tu jangan lupa. Bertenang, buat macam biasa jaa". Laju Ziyad berkata saat nampak kelibat Abang semakin menghampiri mereka.

Sementara itu, dari jauh sudah ternampak Abang berjalan tersenyum. Tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu perlahan. Dia teruja sungguh melihat rakan-rakan  sudah ada di situ. Mereka memang rapat dengan dia, bahkan lebih akrab berbanding adik-adiknya sendiri.

"Abang, sampai pun! Ingat lupa dah jalan nak datang sini!" Seloroh Ziyad dengan wajah yang menyimpan seribu satu makna.

"Mana boleh lupa, lama dah aku tak lepak sekali. Wei, ada air tak,  jalan kaki dari tadi, dahaga laa pula..." Jarak rumahnya nak ke pondok berkumpul mereka ni memakan masa dalam 20  minit juga.

Rakan-rakannya saling memandang antara satu sama lain, ada dalam kalangan mereka yang muka sedikit cuak dan ada juga yang  sebaik mungkin cuba berlagak seperti tidak ada apa-apa yang akan berlaku.

"Nah, minum ayaq 100 Plus ni dulu. Duduk Abang, nanti kita tengok cegita baqu, kami dah caqi". Segera Umair berkata sekali gus menghilangkan suasana canggung ketika itu.


20 minit selepas itu...

"Mengantuknya...Tadi elok jaa. Tengoklah cerita tu, aku tidur kejap, tak boleh tahan dah ni mata." Abang berkata sambil mulutnya ikut menguap besar. Sebaik sahaja mereka memastikan Abang betul-betul tidur, 'projek' tersebut pun dimulakan dengan penuh berhati-hati. Mereka harus pastikan ia berjaya. Misinya supaya Abang kekal di kampung ini bersama mereka. Mereka cukup yakin Ayah Wan takkan benarkan Abang sambung belajar  ke institut pengajian tinggi akibat 'kejadian' yang bakal berlaku malam ini. Mereka tahu ia salah, tapi kalau Abang pergi dari kampung, siapa lagi sudi berkawan dengan anak-anak terbiar seperti mereka. Orang kampung, sering sisihkan mereka, bahkan  Ayah Ngah sendiri kerap kali dihina, seolah lelaki 60-an itu langsung tidak berkecil hati dengan layanan yang dipamer masyarakat setempat terhadap dirinya.

"ABANG!!!" 

"Baik hang bangun sekaqang anak tak guna! Kata nak mai tengok ceqita dengan lepa, ceqita apa yang hang tengok  ni, dengan penuh ataih meja gambaq tak elok  dengan benda-benda  hat lain sama! Melampau hang ni, depan aku jaa  tunjuk baik. Bangun, aku kata bangun!"

Malam tu juga, Abang diusir dari kampung. Dia cuba meminta ruang  penjelasan, tapi tak berjaya, apatah lagi Ayah Wan saat itu seperti orang kerasukan syaitan. Diheret si anak, tak peduli apa-apa yang orang kampung akan cakap, yang penting anak 'sial' itu harus segera keluar dari rumahnya. Dia tak mahu bernafas dengan sisa hidup yang Tuhan kurniakan, tinggal  sebumbung dengan pelaku maksiat seperti Abang. Air muka keluarganya harus dijaga. Pedih hati apabila anak sulung yang diharapkan mampu menjadi teladan kepada adik-adik, rupanya cuma sekam dalam padi. Habis dikhianat maruah keluarga mereka, diconteng arang ke wajahnya dan sang isteri. Apa salah dia sepanjang mendidik Abang, sampai sanggup bertindak sedemikian.

"Bermula malam ni, hang bukan lagi anak kami suami isteri.  Bukan lagi abang lepa, kami tak pernah mau ada ahli keluarga peqangai jijik macam ni. Kira baguih, aku tak heqet pi balai. Dah, pi laa mana pun hang nak, pi buat segala benda tak elok, tak senonoh tu, sebab hang bukan lagi sapa-sapa pada kami. Ingat  ni, sampai aku mati pun, aku takkan kembali teqima hang. Anak tak pandai bersyukur!

Luluh hati Abang, dibuang ayah sendiri. Sang ibu langsung tak mahu pandang wajah dia. Adik-adik sejak awal sudah angkat kaki masuk ke dalam rumah. Malu betul mereka dengan si abang. Dari celah-celak semak berdekatan rumah Ayah Wan, beberapa pasang mata redup, menahan air mata daripada terus tumpah. Cuba kuat supaya suara tangisan mereka tidak disedari orang lain. Bagaimana lagi, niat baik dengan cara yang salah akhirnya memakan diri mereka. Abang betul-betul akan terus jauh daripada mereka.

Sekarang...

"Allah...Aku penat, penat dianggap penjahat. Seolah aku langsung tak layak untuk bertaubat. Hidup untuk diterima manusia, ialah satu bentuk kehidupan yang sungguh melelahkan..." Bisik Abang dalam potongan doa, sebelum dia kembali rebah lena di atas sejadah lusuh itu. Satu-satunya barang yang dia sempat ambil sebelum dihalau keluar 10 tahun lalu. Sejadah itu memang lusuh, tapi ia sangat bermakna. Tak pernah dia lupa bagaimana terujanya  Zuhair, Ziyad, Umar dan Umair saat menyuakan sejadah itu sebagai hadiah hari lahirnya. 

"Happy birthday Abang, maaf ni jaa hadiah kami mampu bagi. Balut pun guna surat khabar lama, tak cukup duit nak beli pembalut hadiah. Terima kasih, terima kasih sebab selain Ayah Ngah, Abang masih sudi anggap kami manusia, padahal orang lain dah cukup menyampah tengok muka kami. Maaf sebab kami, Abang  selalu kena marah dengan orang masjid. Tolong terima hadiah ni, sebab mungkin lepas ni kami dah tak mampu bagi Abang apa-apa hadiah..."

Keesokan hari...

"Ehh Abang, kata hari ni kenduri adik kau. Dah tu, buat apa lagi kat ladang sawit aku ni? Pergilah bersiap, haa kan ada nak bagi hadiah juga."

"Betullah Pak Abu, kenduri tu hari ni. Pasal hadiah tak payah risau laa Pak Abu, saya dah minta orang tolong hantarkan. Itu yang saya ada di sini, lagipun mana ada saya minta cuti untuk hari ni kan? Ka Pak Abu tak suka saya datang  buat kerja?"

"Apa ke bendalah yang kau merepek ni? Kalau betul aku tak suka kau, dah lama aku halau kau. Maksud aku, adik kau kahwin kot hari ni, pergilah jenguk. Ucap tahniah ka apa. Sudah-sudahlah tu merajuk, sampai bila Abang?"

"Siapa jaa tak seronok tengok adik sendiri kahwin, boleh bantu mana yang patut di rumah kenduri, jumpa sanak saudara yang datang dari jauh...Tipulah kalau saya tak teringin semua tu. Cumanya Pak Abu, saya bukan lagi sesiapa pada mereka. Dah putus hubungan kami sejak malam kejadian.  Mereka sendiri yang putuskan, buang saya jauh-jauh dari hidup mereka. Pandang wajah saya pun jijik, takkan saya nak kotorkan majlis yang berkat tu dengan kehadiran orang seperti saya. Nanti mak ayah saya malu, anak pelaku maksiat ni pulang ke kampung. Bimbang mulut orang asyik mengata mereka sana sini. Saya kena jaga juga  air muka mereka."

" Abang, 10 tahun dah perkara ni berlaku. Kau datang sini dengan muka tak semenggah kau tu, sampai sekarang   dah layak pun  nak jadi suami dan bapak orang. Lama sangat dah... Sampai bila  nak seksa diri. Mereka di  sana elok saja teruskan hidup, berkahwin, bermenantu dan bercucu. Beza dengan kau, berjaya mendewasa tetapi terpaksa tunduk mengalah dengan  bayang-bayang sendiri. Aku memang dah tua, tunggu tanah kubur jaa panggil, entah boleh jawab ke tidak soalan Munkar Nakir nanti. Tapi Abang, Tuhan masih bagi aku peluang untuk sihat.  Aku tak pekak, tak buta. Banyak kali masa kau tidur berehat atas pondok usang ani, aku dengar kau mengigau. Menjerit dengan suara yang penuh ketakutan, ada ketika basah muka kau dengan air mata lelaki. Sedih aku tengok kau sampai macam tu sekali. Seolah-olah,  dibunuh berkali-kali  oleh mimpi yang sama. Cuma kau pun berhak bahagia. Betul mereka yang buang kau, tapi kau  tak pernah buang mereka. Kalau tak, buat apa  susah-susah kerja kat ladang ni, simpan juga duit semata-mata nak beli hadiah kahwin adik. Pergilah, mana tahu mereka pun dah lama lupa kejadian tu. Aku teman takpa, kita pergi sekali". Tulus ikhlas Pak Abu berkata, dipeluknya lelaki berusia 26 tahun yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Digosok-gosok perlahan belakang badan pemuda itu. 

"Ishh kau ni Abang, habis lencun baju aku dengan air mata kau tu. Dah jom kita bersiap cepat, nanti lambat pula nak ke sana..." Tidak mahu membiarkan Abang terus tenggelam dalam perasaan sedih dan rasa bersalahnya, segera dilepaskan pelukan.

Di rumah kenduri

"Mak, mana butang baju Melayu Angah ni. Semalam elok jaa Angah letak atas laci meja ni. Ada laa ni tangan yang gatal ubah". Cemas dan sedikit tegang suara Angah bertanya kepada ibunya.

"Ishh Angah, taulah kejap lagi nak jadi suami orang, masalahnya tiba-tiba  nyanyuk dah kenapa, kan semalam kau yang minta mak pakaikan siap-siap dekat baju nikah ni. Mak dah laa banyak lagi kerja dekat dapur tu nak dibuat, harapkan adik-adik kau, sampai sekarang tak nampak batang hidung mereka. Dah mak nak ke dapur dulu." Angah oh Angah, dah tak pasal-pasal kena dengar leteran awal pagi.

"Mak, kan bagus kalau Abang ada sekali hari ni. Sampai bila ayah nak buat perangai budak-budak. Kan kawan-kawan  Abang dah mengaku, bukan salah Abang malam tu." Kendur sahaja suara Angah bertanya sehingga mematikan langkah sang ibu yang mahu teruskan kerja memasak di dapur.

"Mak pergi sambung masak dulu Angah. Nanti tolong  kejutkan Ziqri dan Haikal yaa...". Ibu mana yang tidak bersedih, kecewa. Anak sulung yang dikandung 9 bulan dihalau mentah-mentah oleh ayah sendiri. Bukan dia dan Angah tak pernah cuba cari Abang beberapa bulan selepas kejadian tersebut, sudah dicari merata tempat. Namun, bayang pun tak nampak. Entah kenapalah si suami terlalu ego nak mengaku khilaf, sampai sanggup serkap jarang anak sendiri tanpa mahu beri sedikit ruang penjelasan.

Sementara itu di rumah Ayah Ngah...

"Woi, bangunlah cepat bersiap, kan Angah minta kita tolong di rumah kenduri. Lena tak habis-habis hampa ni! Bangun lekaih sebelum aku pi jentik dahi  sorang-sorang."  Mana tak marahnya Umar melihat sikap Zuhair, Ziyad dan Umair yang masih elok tidur dengan bantal busuk masing-masing. Hari ni sudahlah hari yang penting, banyak kerja nak kena bantu di rumah kenduri. Boleh pula terbongkang lagi di ruang tamu.

"Bising laa kau  ni Umar, tunggu aku report kat Abang nanti kata kau marah kami". Kata Umair tidak puas hati. Umair lupa agaknya, orang yang baru disebut tadi,  sudah bertahun hilang daripada pandangan mereka semua.

"Tapi Umair, Abang kan dah lama tak dak . Dah 10 tahun dia pergi atau lebih tepat terpaksa pergi... Semua sebab salah kita. Ayah Ngah pun tak sempat jumpa Abang sebab malam kejadian kan  ayah aku demam dan sekarang arwah  langsung tak boleh jumpa Abang lagi, sekalipun Abang balik semula ke kampung." Perlahan sahaja suara Ziyad berkata. Ayah Ngah menginggal dunia 5 tahun selepas abang pergi dari kampung.

"Dah, dah...Semua bersiap cepat, kita gerak sekali ke rumah kenduri." Laju sahaja Zuhair memotong perbualan. Dia sudah tidak betah untuk dengar nama itu disebut. Antara mereka semua, dialah  yang paling patut dipersalahkan, sebab kejadian malam itu idea dia sendiri, mereka yang lain cuma jalankan sahaja.

"Haa, sampai pun korang. Ingat dah lupa jalan nak ke rumah aku. Jom, kembar kita pergi pasang bunga manggar dulu.  Yang lain aku nak minta tolong susun meja untuk kuih-muih nanti. Tolong tengokkan mak aku di dapur juga, dari tadi  masak bubur kacang hijau tak siap-siap lagi. Tolonglah mana yang patut kat sini." Laju Angah berkata sambil turun anak tangga depan rumah.

"Kau ni Angah, kami baru sampai. Bukannya nak diajak naik rumah sarapan dulu.  Datang, terus kena buat kerja." Kata Umair sedikit tidak berpuas hati.

PAP!

Umair tangkas berpaling ke belakang, mahu lihat tangan siapa yang berani sangat main kepala dia. Namun niatnya untuk 'membalas dendam' terpaksa dibatalkan sahaja, saat terpandang wajah garang Umar sedang menikam tepat anak matanya.

"Sikit-sikit marah, nanti tak dak siapa nak kahwin dengan kau baru tahu.  Di rumah sudah kena marah, datang rumah kenduri pun kena lagi. Umar ni saja laa cari pasal." Bisik Umair penuh kesal dalam hati.

Zuhair dan Ziyad cukup geleng kepala sahaja melihat kerenah dua sepupu itu. Masing-masing umur dah dua puluh ke atas, tapi masih bergaduh macam budak tadika.

"Umair, adalah sarapan. Mak aku dah hidang pun, cuma jomlah kita buat kerja dulu. Lagi satu, kau kan buat kerja kat sini jaa, bila-bila pergilah naik makan. Itu pun  nak kena beritahu! Dah, jom Zuhair dengan Ziyad. Banyak lagi tempat belum dipasang bunga manggar ni."

Sementara itu...

"Abang, yang pakai mask ni dah kenapa. Buang tabiat ke kau ni. Nak kata demam tidak pula. Dengan cuaca panasnya. Pelik-peliklah perangai". Kata Pak Abu hairan melihat Abang. Suruh bersiap pakai baju Melayu, dipakainya T-Shirt, seluar tracksuit dan kasut sukan. Nak ke kenduri adik atau nak ke padang main bola. Serba hitam pula tu dari atas sampai bawah.

"Biarlah Pak Abu, style apa macam ni. Pak Abu mana tahu fesyen orang muda macam saya.

"Cakap sajalah kau nak kata aku tua". Kata Pak Abu.  Bukanlah dia sentap sangat. Memang kenyataannya dia sudah masuk usia warga emas.

"Merajuk pula dah Pak Abu ni. Bergurau sedikit pun tak boleh. Minta maaflah, saya buat Pak Abu terasa tadi." Perlahan sahaja suara Abang, rasa bersalah juga dia dengan orang tua itu.

 Sebenarnya, Abang memang sengaja pakai sebegitu, supaya tiada sesiapa boleh perasan atau kenal dia nanti. Abang bukannya bersungguh mahu jumpa  keluarga dia. Bukan sebab tak rindu, tapi  risau  akan 'ditolak' sekali lagi oleh mereka. Biarlah dari jauh pun, dia tetap boleh nampak suasana riuh-rendah kenduri adiknya yang dibuat secara bergotong-royong. Kalaulah Pak Abu tahu, sepanjang perjalanan ke sini,  dadanya  berombak kencang. Tangan sedikit menggeletar dan mula berpeluh dingin, sampai ke tahap dia rasa mahu muntah dan pitam. Abang sedar, bukan sebab fizikalnya sedang sakit, tapi jelas keadaan mentalnya semakin memburuk atau lebih tepat keadaan ini dipanggil sebagai serangan panik. Abang belum pernah mendapatkan mana-mana diagnosis daripada doktor  psikiatri atau ahli psikologi klinikal, sebab dia tak mahu risaukan Pak Abu jika tahu tentang keadaan mental dan emosinya yang memerlukan rawatan mental segera.

Sebagai seorang  pencandu buku, Abang banyak membaca termasuklah  pelbagai bahan bacaan di media sosial. Salah satu topik yang selalu menarik perhatiannya adalah berkaitan  kesihatan mental. Maka, serba sedikit Abang sedar segala mimpi buruk yang menemani halaman dewasanya dalam tempoh 10 tahun ini, di samping sikapnya yang mula menjauh daripada melibatkan diri dengan sebarang  aktiviti sosial di kampung dan dunia yang  hanya berputar tentang kerja-kerja ladang, selain   Pak Abu sebagai satu-satunya manusia  paling dia percaya buat masa sekarang. Semua ini berkait rapat dengan keadaan mentalnya yang sedang tidak baik-baik sahaja. Insya-Allah, sampai masanya nanti Abang pasti akan dapatkan juga rawatan psikiatri. Dia sangat perlu, kerana  sudah terlalu lelah untuk terus hidup begini.

Ouhh yaa, Pak Abu dan Abang datang ke rumah kenduri dengan menaiki motosikal masing-masing. Pak Abu mengunggang dengan mengikut motor Abang di hadapan. Abang yang minta sebegitu sebab katanya nanti ada tempat lain dia mahu singgah, jadi dia tak mahu Pak Abu terpaksa tunggu lama.

Sebenarnya selama ni, Abang bukanlah jauh mana pun daripada keluarga dia. Tempat tinggalnya yang sekarang,  cuma selang tiga buah kampung sahaja dari kampung asal. Namun, sebab Abang sangat jarang keluar bergaul dengan masyarakat setempat. Pergi kerja, balik kerja dan cuma  ke pekan untuk membeli barang dapur serta lauk basah yang sudah habis. Begitulah hidupnya hari-hari. Adalah juga sesekali berbual dengan orang kampung yang dia terserempak di pekan pagi. Itupun sebab mereka yang mulakan perbualan dahulu. Dirinya masih tidak cukup kuat untuk kerap berada dalam situasi ramai orang. Fikirannya selalu resah, andai dia nanti ada buat salah dan mereka akan terus 'mengusirnya' seperti 10 tahun lalu. Lebih baik dia bersendiri tanpa berhubungan dengan sesiapa, kecuali Pak Abu. Lagipun, dia sudah penat hidup berpindah-randah di bandar sehingga usianya 22 tahun. Tiada orang mahu menggajikannya secara tetap, memandangkan dia langsung tiada sebarang  kelayakan termasuklah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Alhamdulillah, Abang tak pernah berputus asa daripada rahmat Allah walaupun hampir tewas dengan bisikan syaitan yang menyuruh dia menyambil nyawa sendiri.  Sehinggalah dia benar-benar sudah tidak mampu bernafas dengan menghirup udara di kota yang dilihatnya semakin kotor dengan sampah-sampah hasad dan dengki. dan  dan sehingga dia berniat membantu seorang lelaki tua




 




Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA