AIR MATA LELAKI
AIR MATA LELAKI
(18/8/2020)
sepasang mata redup, menanti penuh sabar
tangannya pula setia menjijit plastik harapan
yang diisi kudapan kasih oleh isteri
kakinya kadang merungut minta duduk
tapi tidak diendahkan rajuk tubuh
hari ini dia harus pulang dengan wang
kerana, lima anak sedang menunggu kelaparan
hadirnya suara mencuri
resah gelisah berdiri sejak tadi
bahu seolah ringan kembali
dia bukan mahu meraih simpati
cuma penat mengejar senyum yang asyik lari
gerobak cerita 'mereka' semakin sunyi dan perlahan
derap langkah manusia lain terasa tak berwujud
hanya mata sahaja mula berkaca
tanpa dipinta, jatuhlah air mata lelakinya
menyembah lantai bumi
yang turut menangisi
nasib seorang lelaki
yang bernama suami
Comments
Post a Comment