ADA APA DENGAN DOSA? (2)

  NAK BUAT SALAH BOLEH, TAPI JANGAN SAMPAI MEMPENGARUHI ORANG SEKELILING

     Sungguh saya terlalu bersyukur Allah tidak padam memori yang satu ini.  Haa, sebuah memori yang masih terpahat kemas dalam dada saya. Kata-katanya masih terngiang-ngiang di halwa telinga. Bahkan, habanya tetap terasa hingga kini. Hangat sekali. Sampai ke hari ini, satu ayat tersebut tersemat garang seakan peringatan buat hati yang mudah terleka ini. 

"ni, kalau nampak aku (kak) buat salah, hampa janganlaa dok ikut."

    Yaa, sampai saat ini kala diri terbuai dalam lautan maksiat, harapan saya semoga tiada yang terpengaruh dengannya.  Betullah, kalau kawan terikut perangai tidak baik kita, dialah tanggung dosa dia. Kita punya dosa, kita yang tanggung. Ya, setiap yang mukallaf baik lelaki mahupun wanita, ada hisabnya nanti. 

    Sahabat, dengarkan yaa...Gembirakah kita jika rakan, adik beradik, pelajar atau pekerja kita mahupun sesiapa sahaja mula solat lambat sebab sering lihat kita melewatkan solat? Banggakah kita, seorang rakan serumah kita berjaga malam semata-mata untuk menonton drama yang mengandungi unsur pornografi dan dikongsi tajuknya oleh kita sendiri?

    Puaskah kita, seorang sahabat yang belum pernah merokok, akhirnya terjebak dengan perbuatan tersebut kerana kita sering mempelawa dan memprovokasi dia? Tenangkah kita, adik yang berusia 6 tahun selalu mencarut sebab abang kakaknya yang sering membasahi lidah dengan perkataan-perkataan tidak baik? Tidak rasa bersalahkah, mengajak kawan untuk sama-sama meniru ketika peperiksaan, saling bertukar jawapan?


KISAH KAMI: ASRAMA PEREMPUAN

     
Petang yang hening tu berjaya menarik perhatian  saya yang mungkin sedikit mengantuk ketika itu.  Selesai saja solat Asar berjemaah di surau sekolah, terdengar riuh-rendah. Katanya, ada senior nak buat perjumpaan sebentar. Saya pun apa lagi, cepat-cepatlah bergerak ke bahagian tengah surau. Bahagian di pintu gerbang yang memisahkan ruang hadapan dan belakang surau. Kejap yaa... Kalau awak tanya umur saya ketika peristiwa tersebut, mungkin usia saya dalam 15 atau 16 tahun. Haa, memori ini antara kenangan bermakna saya di asrama ketika sekolah menengah dahulu. 

    Sebelum itu, saya cerita sedikit tentang akak senior saya yang seorang ini. Cerita sebagai pengajaran dan bukannya berniat membuka aibnya. Beliau dan rakan-rakannya antara yang popular dengan kenakalan mereka di asrama. Tidak pakai stokin ketika perlu, bercakap kasar, lewat ke sekolah dan seribu macam lagilah perangai mereka ketika itu. Baik warden mahupun pelajar asrama yang lain memang runsing memikirkan kumpulan pelajar ini. 

     Asrama sekolah saya pula hanya khusus untuk pelajar perempuan walaupun kami juga mempunyai pelajar lelaki. Boleh agak kan, asrama perempuan sahaja di mana penghuninya berkawan secara berpuak-puak. Salah satunya akak ni dan sahabat-sahabatnya yang lain. Waktu malam, memang tak sunyilah ruang makan kami. Dewan makan kami terbuka dan ada pelajar akan ulang kaji di situ. Yaa, walaupun suasana bingit, nampak saja warden lalu  atau menjerit panggil nama sesiapa, siaplah kena baca Yaasin.  Daripada macam di kenduri kahwin, terus senyap sepi dewan itu. Dah macam belajar di kubur pula. 


BUAT DOSA, JANGAN SAMPAI AJAK ORANG LAIN

    Kembali kepada apa yang diucapkan oleh beliau, secara tidak langsung perspektif saya terhadap pelajar nakal ni sedikit tersingkap. Jujur saya terpegun, terkaku. Lidah ini kelu. 

    Allah!!! Hati saya menangis mendengar butir-butir kalimah yang terbit dari bibir orang sepertinya. Sedar dirinya banyak  menunjukkan contoh tidak baik kepada kami (junior), tanpa rasa malu dan segan, dengan lantangnya ayat ini terluah juga. 

" Kalau nampak kak buat salah, hampa janganlah dok pi ikut pulak!"

    Sepertinya sudah lama beliau pendamkan, simpan perasaan itu seorang diri.  Perasaan bersalah tatkala melihat orang lain melakukan maksiat kerana kita yang memulakannya. Senakal-nakal beliau, tetap tidak mahu tindak-tanduknya yang melanggar syariat dan undang-undang sekolah diwarisi oleh kami yang masih mentah. 

    Sejak peristiwa itu, saya cuba memastikan diri tersimpan rasa takut, risau, khawatir andai ada orang lain berbuat salah kerana terikut dengan tingkah laku saya. Ya, masing-masing dah besar. Sudah matang dan  sepatutnya bijak menentukan apa yang dibolehkan ataupun diharamkan syarak.

    Sahabat yang saya muliakan, katakan... Siapa sahaja yang suka jika perbuatan ingkarnya ditiru orang lain. Kadang, kita hanya melakukannya sekadar untuk memuaskan nafsu sendiri, mencari keseronokan, hilangkan stres menjawab peperiksaan dan apa-apa sahaja alasannya. Kita tidak mahu orang lain menjadi jahat kerana kita, kan? Tapi ada waktunya kita tidak berhati-hati, tidak cakna dengan persekitaran. 

    Menonton anime atau drama yang mempunyai soft-porn dalam bilik seorang diri.  Saya tahu tidak banyak pun adegan-adegan tidak bermoral yang berfokuskan pornografi dan kita pula jenis yang akan 'skip' bahagian tersebut. Maksudnya, memang la kita tengok drama tapi tak mahu tengok pun benda-benda macam tu. Masuk kawan kita dalam bilik, menonton sekali drama tersebut.  Yakinkah kita, ketika dia menonton seorang diri nanti, dia juga akan 'skip' adegan-adegan lucah tersebut? 

     Contoh lain yang saya boleh bawakan, ialah  sikap suka meniru dalam peperiksaan. Pandemik yang hadir tanpa kita inginkan menyebabkan sekolah terpaksa ditutup pada peringkat awalnya. Peperiksan juga diadakan secara dalam talian. Baik di peringkat sekolah mahupun institusi pendidikan tinggi. 

    Jika peperiksaan tersebut berkonsepkan 'open book teks', maka wajarlah untuk kita melihat mana-mana bahan rujukan. Namun adakah tetap wajar, kita saling bertanya dan berkongsi jawapan dengan rakan dalam 'group WhatsApp'? Kadang, sudah dipesan pensyarah, untuk tidak berbincang jawapan ketika peperiksaan berlangsung. Ada juga pensyarah yang tidak berpesan, tapi adakah bermaksud  beliau reda dengan sikap pelajarnya yang meniru? Sekalipun tetap nak meniru, buatlah senyap-senyap. Jangan diajak kawan yang lain. Berbicara tentang hal seperti ini bukanlah bermaksud saya ni baik. Tidak juga bermaksud saya menyokong mana-mana pelajar yang meniru secara indiviu.  

     Tahukah kawan,  apa yang kita perlu rasa apabila mendapat  keputusan hasil perbuatan meniru walaupun yang ditiru itu hanya satu dua soalan? Haa, rasa bersalah sangat, kecewa dengan diri sendiri! langsung tak rasa gembira! Paling kita perlu fikirkan, bagaimana perasaan mak dan ayah jika tahu anaknya pernah meniru? Salah tetap salah, dosa tetap mengalir. Namun, lebih kasihan, terpalit dosa yang lebih banyak ketika mengajak mana-mana individu untuk berkelakuan salah seperti kita.

     Pesan Ustaz Aiman, seorang tenaga pengajar yang pernah mengajar kami  sewaktu tingkatan satu dahulu. Katanya " Ustaz lebih suka kamu dapat 1%, daripada kamu dapat markah yang bagus hasil meniru". Terima kasih Ustaz atas pesannya. Saya berjanji untuk menitipkan pesan yang sama kepada bakal murid-murid saya kelak. 


# salah tetap salah
# masih belum terlambat untuk melatih diri bersikap jujur
# sebelum tidur, katakan pada Allah tentang dosa kita pada hari ini
# sekalipun belum mampu untuk istiqamah amar makruf nahi mungkar, jangan pula terus membiarkan dosa kita mempengaruhi orang lain

Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA