ADA APA DENGAN DOSA? (1)

  Saya tetap ingin menulis tentang dosa, ya...D.O.S.A.

    Empat aksara ini sudah selalu kita dengar terutamanya apabila ia terpaksa berdiri kaku dalam ayat seperti berikut.

 "Nama pun manusia, memang tidak akan terlepas daripada berbuat dosa punya..."

    Sebenarnya ada apa dengan dosa  ni?  Orang tahu dirinya ada dosa pada siang hari, selalunya sampai ke malam kita tetap 'meraikan' maksiat walaupun tanpa kita sedari'. 

    Betul, kadang kita bukannya suka-suka membuat salah.  Fitrahnya tiada manusia yang suka-suka melakukan kejahatan sedangkan dia tahu banyak mudaratnya.  Ada dalam kalangan kita yang pernah  bersikap biadab, derhaka mak ayah, meniru dalam peperiksaan. Ada juga yang tidak malu berlaku  curang dengan pasangan, bergurau kasar dengan rakan, bersangka buruk terhadap pelajar sendiri, sengaja datang lewat ke tempat kerja, menyebar aib jiran, memfitnah di media sosial mahupun mengungkit pemberian kepada adik-beradik. 

   Terdapat juga segelintir manusia yang yakin dirinya sangat jarang melakukan khilaf sehingga  merasakan dia lebih baik berbanding yang lain.  Semua ini antara dosa yang kita pernah buat dan mungkin juga tidak. Sebab kita hidup dalam cara yang berbeza walaupun masing-masing berbumbungkan langit yang sama. 

 Kita pendosa yang bagaimana?

     Sekecil-kecil dosa jika terus dianggap...

 "Tak dak apalah...Orang lain pun sama, ada tu yang lagi dahsyat buat maksiat!".
 "Rilekslah, tengok anime jaa kut, biasalah memang banyak watak dalam anime yang berpakaian seksi, takpa lah kan tu kartun". 

    Percaya atau tidak, titik mula perangai beginilah yang semakin lama menjerat kita untuk terus leka dalam lembah kemaksiatan. 

     Memanglah, orang lain pun buat dosa juga, tapi mungkin sang pendosa ini sibuk bertaubat pada malam hari? Bahkan, tahukah kita adanya ahli maksiat yang setiap kali dia berbuat ingkar, pasti dalam keadaan takut terhadap azab Allah? Jangan terkejut, ada juga dalam kalangan pendosa yang sering berdoa kepada Allah agar tetap dipelihara dirinya daripada berbuat jahat sedangkan memang ketika itu dia seronok dan  asyik berjudi contohnya. 

     Boleh jadi sahabat kita yang selalu tampak biasa-biasa sahaja, hakikatnya hati kecilnya setiap hari gundah, resah dan gelisah.  Berusaha memohon Tuhan membantunya agar tidak terus berbuat dosa yang  sama? Ramai pula dalam kalangan pendosa tahu dan sedar khilaf mereka sehingga sering meminta Tuhan menjaga aib diri.  Mereka terlalu malu sebenarnya ketika berbuat dosa. Malu juga andai ada orang yang terhidu dosa mereka

    Maka, awak pendosa yang bagaimana? Saya pula berada dalam kategori yang mana? Jawapannya, hanya kita dan Tuhan yang tahu kebenarannya.

    Kita semua pendosa, namun bezanya terdapat individu yang tahu dia salah lalu tetap seronok melakukan maksiat. Semoga Allah melindungi kita daripada menjadi pendosa yang seperti ini. Terdapat pula pendosa yang terlalu sedar khilaf dirinya dan berusaha untuk istiqamah memohon Tuhan memaafkannya.


Berusahalah! 
Minta Tuhan agar tetap menjadikan kita pendosa yang sabar ketika berdoa

     Kita tidak mampu bersabar, menahan diri daripada terus melakukan dosa, tapi adakah perkara yang sama kita ulang ketika  berdoa? Tahanlah sebentar, cuba sabar. Yaa tahu, kadang kita sendiri merasa hina dengan maksiat yang dibuat. Terlalu kesal sampai tidak berani memasung cita bahawa akan tiba saatnya kita mampu berhenti melakukan dosa tersebut.  Tetaplah ingat, adakah Tuhan akan mempersiakan doa kita? 

    Betul, dari dulu kita berdoa agar dibantu Tuhan  supaya dapat berhenti merokok, menjadi malu ketika menonton drama atau anime yang mengandungi unsur-unsur lucah mahupun tidak lagi menjadi anak yang berbicara kasar terhadap kedua-dua orang tuanya.  Doa punya doa, tapi kenapa sampai sekarang kita masih begini? Tetap sahaja dengan dosa yang sama. 

    Sahabat, berbuat maksiat yang satu bertahun-tahun boleh, mengapa bersabar hanya untuk sehari  ketika berdoa, tak mampu? Usahalah agar istiqamah meminta Tuhan bantu kita untuk berhenti membuat mana-mana maksiat. Apabila yakin diri kita sudah kuat, doa lagi  dengan penuh pengharapan, supaya tidak akan mengulang dosa yang sama. Doa juga agar Allah memelihara diri daripada melakukan dosa yang baru. 

    Mahu Allah tolong, tapi diri sendiri malas berdoa, berputus asa atau mungkin kalian merasakan diri tidak ikhlas berdoa. "Adakah  awak rasa diri telalu teruk sehingga tidak layak untuk diampunkan? "


Hanya Allah yang tahu kita ini ikhlas berdoa atau tidak

     Satu perkara, kita sebagai manusia harus sematkan elok di dada dan akal. Hanya Allah yang tahu kita ini benar-benar ikhlas ingin berhenti melakukan maksiat atau sebaliknya. Ya, hanya Dia yang berhak nilai kita. Kenapa? Sebab kita ini sedar atau tidak, akan selalu diuji dengan gangguan dan bisikan syaitan. Makhluk tidak terlihat mata kasar ini, akan rajin menjadikan kita was-was terhadap perasaan sendiri. 

    "Hang ni nak berubah ikhlas ka? "
"Ni kerap sangat doa, ingat Allah nak makbulkan ka doa ahli maksiat?"
"Kalau betul Allah sayang hang, dari dulu lagi Dia akan bantu hang untuk keluar daripada kancah perzinaan ni.
"Hang tok sah laa dok doa lagu ni, tak jadi baik punya". 
"Dah-dahlaa tu berdoa, esok ni hang buat balik maksiat". 

     Tengok, ini baru sebahagian besar kejayaan syaitan dalam menjadikan kita individu yang sentiasa syak dan ragu terhadap keikhlasan diri sendiri. Sebab itu abaikan sahaja kata-kata seperti ini. Lagi difikirkan, hanya akan buat kita terus takut dan risau terhadap perkara yang belum pasti. 

    Kita ini hanya manusia, tanggungjawab kita terhadap Allah adalah untuk sentiasa meraih rahmat dan pengampunan daripada-Nya. Jangan beterusan menghukum khilaf diri sedangkan Allah sahaja yang berhak menentukan perasaan kita. Namun, kita tetap perlu  meminta supaya Allah bimbing diri menjadi orang-orang yang ikhlas dan bersungguh-sungguh saat berdoa...

# jangan terus menghukum diri, namun jangan sampai terlalu selesa berbuat dosa.

Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA