BERBUAT BAIK IALAH HAK KITA SEMUA
Berbicara tentang 'kebaikan', apakah perkara pertama yang terlintas di benak fikiran kita?
Jika anda tanya saya, perkara pertama yang menjengah di minda ini ialah
"aku ni orang baik ka?"
Sahabat, saya yakin kalian juga pernah begini, sering dalam dilema untuk melakukan apa-apa kebaikan kerana merasakan diri sangat tidak layak bukan? Ya, saya pun acap kali terumbang ambing sendirian dalam sampan, dibadai ombak kebimbangan hanya untuk memikirkan hal seperti ini. Jujur ia sedikit sebanyak meresahkan diri.
1. Kita semua ada sisi baik dan gelap kita
Pernah atau tidak, di sekolah kalian ditegur oleh pelajar-pelajar yang nakal? Bukan sekali dua, bahkan setiap kali mereka berselisih, pasti terbit salam mesra daripada mereka. Terkesima saya. Diri sendiri bahkan terlalu sukar untuk memberi salam kepada orang lain, kadang terlalu segan. Adakalanya takut andai salam saya tidak ada yang sudi menjawabnya. Akhirnya saya memilih untuk mendiamkan diri. Yaa...manusia terlalu takut dengan sesuatu yang tidak pasti sehingga merugikan diri sendiri. Diamnya saya sebenarnya telah pun menutup satu pintu kebaikan untuk diri dan orang sekeliling saya. Memberi salam mendatangkan pahala kepada kita dan pada masa yang sama sebagai doa buat yang mendengar.
Ya, mereka pelajar yang terkenal di sekolah dan asrama sebagai individu yang bermasalah, namun ada sesuatu yang saya telah pelajari daripada mereka. Menulis kisah seperti ini bukanlah bermakna saya membenarkan perbuatan pelajar yang tergelincir akhlak, tetapi kerana saya mula sedar kebaikan itu milik setiap orang, walau siapa pun dia.
2. Mereka tetap manusia yang layaknya diperlakukan seperti manusia
Saya pernah sertai satu aktiviti kesukarelawanan untuk mengedarkan pek makanan kepada mereka yang memerlukan atau lebih tepat lagi gelandangan. Pek makanan yang sederhana berisikan sebungkus mihun goreng, roti dan sebotol air mineral. Paling membuatkan saya teruja, kami melakukannya pada waktu malam. Saya dan kumpulan perlu pergi mengedar makanan di kawasan yang mungkin agak terkenal sebagai markas golongan 'maknyah'.
Kami bergerak dengan hanya bertemankan cahaya rembulan dan lampu suluh telefon bimbit masing-masing. Malam yang sebelum ini hanya disangka gelap, waktu manusia berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Ada yang tidur setelah penat menafkahi diri di siang hari. Tuhan jadikan sifat malam sunyi, tenang dan sepi. Namun saat itu saya benar-benar terjaga melihat sisipan realiti kehidupan masyarakat di sana.
Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan kami untuk melaksanakan amanah ini. Ada sahaja gelandangan yang kami jumpa walaupun kebanyakannya sedang enak dibuai mimpi. Mungkin sahaja mereka terpaksa memilih untuk tidur setelah seharian menahan lapar. Rata-rata yang kami temui ialah mereka yang sudah berusia. Dengan tubuh yang kurus, perlu kuat apabila diratah angin sejuk di waktu malam, hanya ada baju buruk yang nipis membaluti tubuh. Tidur meringkuk, mungkin sahaja di sebalik tangan yang diselindungkan dalam selimut rabak, diletakkannya di perut. Berusaha berbisik sabar kepada perut yang sedang perit, meminta agar ada sesuap makanan pada hari itu.
Saya tidak boleh menghukum mereka pemalas, kerana saya tidak tahu mungkin malam itu baru pertama kali mereka boleh berehat. Boleh sahaja matahari menjadi saksi bagimana insan ini telah berhempas pulas mencari rezeki dengan kudrat yang ada. Namun boleh jadi takdir belum memihak mereka pada hari itu. Tiada apa yang boleh dijual. Tiada siapa yang sudi mengupah mereka untuk melakukan apa-apa pekerjaan sesuai dengan kemampuan yang masih tersisa.
Kami meneruskan pencarian orang yang memerlukan, sebab masih ada pek makanan yang berbaki. Masuk di satu lorong yang panjang, sangat gelap dan betul-betul bergantung kepada cahaya telefon bimbit masing-masing. Lorong tersebut lebih sunyi kerana tiada kenderaan yang lalu lalang, sekali sekala sahaja kedengaran bunyi motosikal laju melepasi kami. Jalan tersebut juga ada yang berlopak dan tidak rata. Ya, sebelum saya terlupa, setiap kumpulan akan ada dua atau tiga orang lelaki sebagai ketua. Selebihnya memang kami wajib bertawakal kepada Allah agar Dia menjaga kami sepanjang masa. Awal perjalanan kami di lorong itu, hanya ditemani sorakan unggas seperti cengkerik. Sedikit lega jugalah sebab Allah hantar 'mereka' ini untuk memeriahkan perjalanan sepi kami malam itu.
Namun rasa selamat kami sedikit terganggu kerana di pertengahan lorong, bunyi teriakan unggas memberi semangat telah pun tenggelam timbul dengan salakan anjing. Saya cuba bersangka baik, anjing-anjing tersebut juga mahu meraikan kedatangan kami dengan cara mereka. Hakikatnya dalam hati, saya benar-benar takut andai disapa dekat 'kawan baru' kami ni.
Kemudian, di sebelah kanan lorong, terlihat saya seorang abang berpakaian perempuan sedang berdiri senyap di hadapan sebuah rumah. Mungkin memang itu rumahnya. Awalnya saya agak terkedu dengan apa yang dilihat sehingga langkah pun semakin perlahan. Hati laju tertanya.
"Ok ka nak jalan ni, kalau jadi apa-apa macam mana ni?"
Seharusnya saya tenang dan tidak cepat gelabah. Sambil melihat sosok itu, saya berdoa serta berharap lidah dan hati diberi kesabaran untuk tidak cepat melatah atau menghukum individu tersebut. Semestinya saya terkejut sangat, kerana selama ini individu seperti abang tersebut hanya dapat saya lihat di layar kaca televisyen. Mungkin beliau sedang menunggu rakannya ataupun pelanggan pertamanya. Saya tidak tahu.
Namun, saya sangat kesal sampai hari ini, kerana pada saat itu minda rasional saya terlalu berhati-hati. Saya berlawan dengan perasaan sendiri. Bingung sama ada nak menghulurkan bungkusan pek makanan yang sedang saya pegang kepadanya atau terus berjalan tanpa mempedulikannya. Agak-agak kalian, pilihan saya yang mana? Ya...Saya pilih untuk terus berjalan. Cuma saya terfikir, jika malam itu saya meneruskan niat untuk berkongsi rezeki dengan abang tersebut, sekurang-kurangnya pada hari itu beliau sudah boleh kenyang dengan makanan yang halal.
Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak akan pernah menyokong perbuatan yang abang ini lakukan (berpakaian seperti wanita) kerana ia jelas haram dalam agama Islam. Pada sisi yang lain, saya tidak akan sesekali memperlakukan golongan seperti ini dengan sehina-hinanya. Mereka tetap manusia seperti kita. Mereka juga berhak berubah pada bila-bila masa selagi mana tetap mencuba ke arah yang lebih baik.
"Semoga abang terus percaya Allah sentiasa ada untuk kita. Kita tidak akan pernah tahu bagaimana diri kita pada masa hadapan..."
3. Titik mula mengumpul dan menghadiahkan buku secara percuma
Cerita kali ini juga masih berkisarkan tentang malam itu. Sebuah malam gelap, namun telah membantu saya untuk kembali memaknakan citra kehidupan ini. Setelah habis memasuki lorong demi lorong bahagian kumpulan kami, maka kami kembali ke tempat sesi taklimat gerak kerja tadi. Berehat, melunjur kaki kerana agak lenguh berjalan di jalan yang tidak rata. Berbual-bual dan makan. Sedang asyik bersembang, mencuba mendapatkan perasaan mesra untuk berkomunikasi dengan sahabat-sahabat baru saya, kami tertarik dengan suara seorang kanak-kanak lelaki menjual jeruk pelam (mangga).
Awak semua boleh bayang tak, pukul 12 tengah malam, seorang kanak-kanak yang sepatutnya berada dalam lingkungan selamat bersama keluarga di rumah, masih lagi berjalan di dataran yang sesak dengan manusia lain. Tubuh sekecil itu terpaksa menahan angin dingin yang 'tersenyum-senyum mengusik' dirinya. Jujur, tidak tahu bagaimana untuk membayangkan letih, penat dan lapar si kanak-kanak.
Berbalik kepada perkongsian saya tentang 'buku'. Perkara pertama ynng terlintas pada fikiran saya dek tersentap dengan kegigihan adik itu ialah " kalau budak ni ada buku atau komik yang menarik untuk dibaca terutamanya berkaitan pendidikan dan motivasi seperti komik Sains, peribahasa ataupun majalah 'Ana Muslim dan Asuh, ok juga kan... Novel remaja macam karya Hilal Asyraf dan Ramli Awang Mursyid pun seronok juga ni. Sambil menunggu pelanggan, atau ketika berehat, bolehlah dia baca buku kan. Bosan hilang, berhibur pun dapat, ilmu lagi laa bertambah".
Nak tahu apa lagi yang tercetus di akal kecil milik saya?
"Haa!!! Kalau dapat buat kelas percuma kat tengah dataran ni pun ok juga kan, kelas Bahasa Melayu ka, Sejarah ka, Jawi pun macam menarik juga kan? Ajar mereka bahasa asing, melukis lagi laa menarik kan? Kelas percuma ini secara santai sahaja dan khusus untuk anak-anak yang mungkin seperti adik tadi. Ibu bapa yang sedang berniaga di kawasan sekitar dataran juga, bolehlah menghantar anak ke kelas tersebut. Minggu depan, ada rezeki boleh buat 'story time' pula. Sedang saya cerita kepada kalian pun, perasan teruja itu semakin membuak-buak. Saya akan tetap bersabar dan berusaha sebaik mungkin untuk melakukan program seperti ini. Moga tersisip sedikit peluang dan waktu untuk saya.
Sekarang, alhamdulillah...Saya mula mengumpul buku. Ada yang dibeli sendiri di Hasani (kedai buku) ketika diajak abang. Banyak juga yang saya beli secara dalam talian (Shopee). Perjalanan ini masih jauh, terlalu jauh untuk orang seperti saya. Awalnya, saya fikir nak hadiahkan buku-buku tersebut kepada rumah anak yatim yang pernah saya kunjungi dengan sahabat-sahabat yang lain. Tetapi pada masa yang sama, saya melihat anak-anak desa saya juga memerlukannya. Harapan saya ialah ramai kanak-kanak dan remaja mampu menjadi seorang yang positif, ceria, kritis dan kreatif melalui buku yang dibaca.
Remaja kampung saya yang terkenal dengan sikap suka melepak, mungkin selepas ini mereka boleh melepak sambil membaca buku. Berangan-angan sepertimana watak-watak dalam novel Gelombang Baru, karya Saudara Hilal Asyraf. Teringat kata-kata abang ketika diri meluahkan rasa bimbang lalu kawasan seperti ini.
Bayangkan jalan yang kecil dipenuhi anak remaja dengan motor masing-masing. Kadang geram juga, adakah mereka ini tiada apa-apa hendak dibuat sehingga menghalang jalan awam seperti ini. Lalu dengan sabar abang berpesan, "mereka ni nampak jaa macam tu...". Saya terus tertunduk malu. Faham sangat apa yang beliau ingin sampaikan. Hampir setiap kali, abang lalu di kawasan lepak, pasti akan ditegur mesra oleh mereka. Seperti kawan yang senang dapat berjumpa sahabat lamanya. Kami ni bukannya saja-saja nak guna jalan tersebut, cuma jalan itu macam lebih cepat kami boleh sampai ke rumah dan tidak banyak bonggol berbanding jalan utama.
Perbuatan melepak itu tidak bagus kerana ia boleh mendatangkan rasa tidak senang kepada pengguna jalan yang lain, tapi siapalah kami hendak melarang mereka. Kami juga tidak boleh terus memandang mereka dengan prejudis lalu membiarkan hati bersangka bahawa mereka jahat. Maka, saya terfikir untuk hiburkan remaja-remaja ini dengan novel dan komik yang santai tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka. Saya mahu anak-anak ini tahu, setiap orang berhak dilayan dengan baik oleh masyarakat sekeliling termasuklah remaja seperti mereka. Salah tetap salah, jika perlu dihukum, itulah sebaiknya selagi mana bukan bertujuan menyakiti tubuh mereka dan tidak melampaui batas undang-undang. Namun ia tidak bermakna hanya kita yang benar. Bahkan kita juga bersalah, kerana sanggup membiarkan golongan seperti ini terus terasing dalam dunia mereka. Pernahkah kita mencuba dan berusaha membantu mana-mana yang boleh?
Doakan saya dapat merealisasikannya dan sekalipun ditakdirkan diri ini tidak sempat, saya berharap ada insan lain yang sudi menyambung cita dan cinta ini buat anak bangsa kita.
# salah tetap salah
# dosa tetap dosa
# tapi kita boleh berubah
# berdoalah supaya kita tidak hanya tahu pandang orang dengan prejudis dan berkata sinis
Comments
Post a Comment