BERSEDEKAHLAH SETAKAT MANA YANG KITA MAMPU

  BERSEDEKAH ITU SUBJEKTIF

    Bersedekah itu tidak perlu dikaitkan dengan wang ataupun harta. Sedekah dalam Islam terlalu luas perspektifnya, mengapa perlu disempitkan nilai sedekah hanya untuk golongan berada sahaja. Jika agama ini menghadkan amalan bersedekah hanya untuk golongan yang berkemampuan, maka bagaimana pula dengan orang muskin yang mempunyai  niat dan azam yang sama? 

    Pembaca yang saya kasihi, sedekah yang dimaksudkan sepanjang anda membaca penulisan ini bukanlah dimaksudkan dengan  sedekah wajib (zakat). Saya tidak menyentuh tentang zakat kerana ia memang sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap muslim yang mukallaf dan berkemampuan untuk menunaikannya. 

    Saya memilih untuk menulis berkaitan  sedekah sunat yang bukan merupakan satu taklifan kepada kita, namun kita sendiri patut melaziminya.  Setiap orang tetap boleh memberi walaupun tanpa harta. Ia boleh dilakukan dengan cara berkhidmat secara percuma, berkongsi ilmu, mengutip sampah-sampah kecil di jalan, membuang apa-apa halangan seperti duri, pelepah pokok kelapa di jalan, menyelamatkan haiwan yang kesusahan, senyum, belanja makan dan banyak lagi.

  Siapapun kita, pasti ada mana-mana inisiatif yang dapat diambil dalam menyumbang kembali kepada masyarakat tanpa berharapkan sebarang balasan. Yakinlah, ada sesuatu dalam diri kita yang dapat dimanfaatkan untuk membantu orang sekeliling. 

    Kita tak kaya, tapi memiliki kemahiran untuk memasak. Maka, manfaatkanlah kemahiran kita untuk memasak makanan yang sihat dan sedap di rumah-rumah kebajikan. Kita juga boleh menawarkan khidmat memasak percuma ini  ketika  kenduri atau aktiviti gotong - royong membersihkan kawasan perumahan.  Kita hanya perlu memasak dengan ikhlas dan biaya bahan-bahan masakan disediakan oleh pihak mereka ataupun dikutip jumlah tertentu daripada setiap keluarga. 

    Kita boleh melaksanakannya secara percuma sekiranya kita yakin mampu melakukannya tanpa sebarang upah bayaran. Sekiranya kita juga perlukan duit, kita boleh kurangkan jumlah bayaran yang sepatutnya. Selebihnya dianggap sebagai sedekah. Saya tahu ada dalam kalangan kita yang memang kesempitan hidup dan hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja. Maka, tidak mengapalah untuk tetap menerima semua upah tersebut. Kita masih boleh meraih pahala dengan melaksanakan amanah tersebut seikhlasnya dan penuh kesungguhan. Tiada guna juga bersedekah khidmat, namun melakukannya dalam keadaan terpaksa dan riak.

    Jika kita sakit dan tidak mampu menyediakan juadah dalam kuantiti yang banyak, boleh sahaja kita jadikan hari Jumaat sebagai hari bersedekah.  Seronok bukan dapat mengembirakan jiran sebelah rumah dengan masakan yang lazat dan berkhasiat? Ini bermaksud, kita target pada setiap hari Jumaat, nak bagi sedikit makanan yang dimasak kepada salah seorang jiran kita. Minggu depan untuk jiran yang lain pula. Faham kan apa yang saya cuba maksudkan? Memberilah dengan meraikan kemahiran kita. 


KISAH KAMI DENGAN 10 BISKUT COKLAT

    Saya ada sebuah  cerita yang mahu dikongsi  atau lebih tepat lagi pengalaman sewaktu di bangku sekolah rendah. Saya sudah lupa  umur saya ketika kejadian tersebut. Namun ia tetap menjadi satu kenangan yang mustahil untuk diri ini  lupakan.  Suatu hari, saya sempat membeli sepuluh keping  biskut coklat di kantin sekolah pada waktu rehat. Niat saya untuk makan dalam van ketika pulang nanti. Haa, saya dulu pulang dari  sekolah dengan menaiki van Cik Timah. Cik Timah tu orang kampung kami juga, cuma rumahnya di tepi jalan raya. Rumah saya pula perlu masuk lorong lain namun dalam kampung yang sama juga. Ramai juga laa kawan-kawan sekampung dan kampung sebelah yang menggunakan khidmat beliau untuk pergi dan pulang sekolah. 

     Kebiasaannya,   Cik Timah akan hantar kawan-kawan yang rumahnya berdekatan dengan kawasan sekolah dulu. Selalunya, kami laa murid yang paling akhir akan sampai ke rumah.  Nak sampai ke rumah saya perlu memasuki sebuah lorong yang panjang, dah namanya pun Permatang Panjang kan?  Haa, dalam van tu ada laa kawan-kawan saya yang lain. Dalam 5 ke 7  orang juga laa. Boleh bayang rasanya, van yang kecil memuatkan kami semua. Sesak dengan beg masing-masing lagi. Lapar pula setelah penat melunaskan tanggungjawab di sekolah. Sempit memang sempit, namun seorang buat lawak, satu van gelak. Itu belum kira lagi kawan kalau ada yang senyap-senyap melepaskan bom tak berbahaya. Kenangan...Kenangan.

    Elok plastik  dikeluarkan dari  sisi kiri poket beg, teragak-agak saya untuk makan. Beberapa pasang mata berlabuh tepat ke arah saya seperti penuh harapan agar dikongsi biskut  dengan mereka.  Macam ni laa, takkan kita nak makan biskut yang ada tanpa mempelawa rakan-rakan yang lain. Maka, saya pun  tanpa fikir panjang, ajaklah mereka makan sekali. 

    Setelah beberapa tangan menghulur mahukan biskut, terdetik pula dalam hati saya. "Nanti tak cukup, macam mana laa, ada sepuluh jaa ni". Tapi saya abaikan saja. "Kalau dah habis, habislah". 

    Namun yang anehnya, biskut tersebut macam tak habis-habis. Asal kawan saya nak lagi, biskut tetap ada dalam plastik sedangkan sepuluh jaa yang dibeli. Sudah pastilah biskut sekecil duit syiling 50 sen tu mana mampu nak kenyangkan kami. Jadi jika ada kawan yang mahu lagi, saya pun bagi laa juga. Kawan yang lain pula nak satu lagi, saya apa lagi, risau tu tak boleh bawa bincang dah. Nanti tidak cukup untuk mereka yang lain macam mana. Namun sebaliknya pula berlaku. Asal ada yang minta biskut, tengok dalam plastik tetap  berbaki. Secara logiknya, 10 biskut tersebut sepatutnya sudah habis. 

    Kuasa Allah, adakalanya memang tidak mampu terjangkau dek akal kita. Sedarlah kita semua hanya manusia dan  seorang hamba yang lemah. Kita hidup ni atas percaturan dan kehendak Dia Yang Maha Kuasa. Sejak itu saya berazam, untuk tetap memberi walaupun yang saya miliki sudah sedikit untuk diri sendiri. 


ANGAN-ANGAN MAT JENIN SAYA

    Sebelum tu saya nak minta maaflah kepada sesiapa yang bernama Mat Jenin, main guna jaa nama awak. Nak  buat macam mana lagi, sejak kecil sering dimomokkan dengan ayat berikut.

 "Jangan dok mengelamun sangat lah, dah macam angan-angan Mat Jenin aku tengok hang ni". 

    Baiklah, kembali kepada topik kita, nak minta awak semua cuba teka apalah angan-angan seorang saya ni. Boleh?  Gayanya macam semacam jaa, mustahil kan? Tenang semua, tenang.  

    Tarik nafas dulu. 1, 2, 3 HEMBUS!!!.  Hihihi... Tak dak apa yang istimewa pun dengan cita-cita saya ni, tapi bolehlah setakat nak berangan. Bak kata kami geng utara " hang ni awatlaa, qeja dok beqangan jaa, teqingat apa tak tau". Saya rasa tiada masalah pun nak berangan, bukan perlu bayar apa-apapun. Benda percuma, siapa tak mahu.

     Haa,  sudah sedia ka, nak dengar saya berceloteh tentang tiga projek seorang 'saya' ? Sebelum itu, saya maklumkan terlebih dahulu yaa...Projek ini  berkonsepkan 'sedekah mana yang mampu jaa'. Alhamdulillah, ketiga-tiga projek ini ilhamnya termotivasi daripada krisis yang dihadapi  masyarakat ketika dunia dilanda teruk dengan virus yang tidak terlihat ini. Perkara yang paling membuat saya terkesan ialah keperluan manusia terhadap makanan dan pendidikan. 

Projek 1: memberi makanan percuma kepada:

penghantar barang, makanan dan pemandu-pemandu e-hailing seperti grab dan sebagainya. 

    Kita sedia maklum, pandemik ini menyebabkan kebanyakan  tulang belakang keluarga terutamanya golongan  B40 dan ke bawah  terpaksa berhenti kerja.  Ada yang ditamatkan khidmat, perniagaan merosot, memerlukan duit untuk membeli gajet anak bagi tujuan pembelajaran dalam talian. Bahkan ramai juga yang terkesan akibat pandemik ini walaupun masih mempunyai gaji tetap, namun cukupkah untuk melangsungkan kehidupan dalam situasi begini? 

    Percayalah, ada keluarga yang terpaksa catu beras setiap hari. Bayangkan saat kita masih berlaukkan telur masak kicap, seorang ibu bersimpuh di hadapan tong beras, mengais butir-butir beras yang tersisa. Malam hari, seorang ayah bangun mengadu pada Tuhan. Katanya " Allah, untuk esok semoga ada yang sesuatu yang boleh dimakan oleh anakku, walaupun hanya nasi dan kicap". 

    Mungkinkah, kala kita masih enak dibuai mimpi, adanya remaja lelaki yang juga abang kepada lima adik-adiknya sedang bekerja sebagai penghantar makanan sampai larut malam.  Pulang ke rumah basah kuyup, terkena tempias  langit yang tiba-tiba menangis. Hatinya mula galau diikuti risau.  Bukannya takut dia demam.  Sang abang terus   gelisah menahan resah. Dirinya seperti ingin meminta Tuhan agar perintahkan langit,  tidak menyambung tangisnya untuk hari esok. Risau jika hujan lebat, bagaimana dia dapat menerima dan menghantar pesanan pelanggan. Pada masa yang sama, takut jalan yang basah dan licin.  Terlalu banyak risiko yang diandaikan. Namun seperti apapun, mereka tetap perlu bersemangat untuk menafkahi diri sendiri serta keluarga masing-masing. 

    Untuk memberi bantuan kewangan kepada mereka, kita masih jauh untuk berlaku mampu. Namun, kita masih boleh menyenangkan hati  dan mengeyangkan perut mereka  dengan memberi sebungkus nasi bujang. Sebaiknya, jika sudah tahu  bahawa mereka sudah hampir ke rumah, kita tunggulah siap-siap dengan  bekalan makanan yang ingin diberi.

    Kenapa saya nak buat macam ni? Sudahlah mereka ialah indvidu yang langsung saya tidak pernah kenal. Hal ini kerana,  kadang saya tersentak hairan memikirkan beberapa persoalan yang berjaya mencuri ketenangan hati seorang saya.

 "Adakah kebanyakan mereka yang mencari nafkah  seperti ini sempat untuk makan? "Dia ni ada ka tak duit nak beli makanan ni?"

    Sekurang-kurangnya sebungkus  nasi berisi telur goreng bersama sup kosong boleh menyebabkan mereka kenyang. Inysa-Allah dengan izin Tuhan. Mereka perlu bekerja tidak kira waktu, adakalanya balik ke rumah, hati meruntun melihat sang anak tidur bersama botol susu yang sudah kosong. Entah sudah makan nasi atau belum pada hari itu. Mereka yang seperti ini cukup puas walau hanya dengan menu yang sesederhana itu. Boleh jadi, makanan itu akan disimpan untuk diberi kepada si anak yang sedang merengek kelaparan.  Sedangkan perut sendiri, memulas terlalu lapar.  Namun tetap didahulukan ahli keluarga yang belum menjamah apa-apa makanan sejak pagi. 

      Sekalipun kita sendiri tiada apa-apa makanan yang boleh diberi, mungkin kita boleh tanya mereka sekiranya mereka dahaga. Segelas air kosong juga pasti mampu mengembalikan senyum yang sudah lama melisut. Hilang dahaga, terharu dengan kebaikan masyarakat. 


Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA