KENAPA MAKAN TAK HABIS NI?
Bersyukur saja, kita ini masih punya sesuatu untuk dimakan. Bahkan selalunya makanan yang kita ada mesti yang menyihatkan ditambah rasanya yang lazat. Paling beruntung, masih dapat nikmati makanan yang dimasak oleh ayah ibu kita. Cuma mungkinkah kita terlupa, tidak semua orang beruntung seperti kita, kan?
Benar, kita tidak sepatutnya terus menelan makanan jika sudah kenyang, itu juga akan memudaratkan kesihatan. Tapi kita boleh memberi lebihannya kepada orang lain yang memerlukan. Jika makanan mahupun minuman itu masih elok dimakan, taruh saja dalam peti ais. Esok masih boleh dimakan. Jika perlu, hangatkan saja.
Tahu, kadang kita ini terlalu sibuk untuk memasak sendiri, makanya makanan dibeli. Saya nasihatkan, andai tahu kapasiti perut kita tidak boleh memuatkan makanan yang banyak, mungkin kita patut meminta toleransi daripada pekedai supaya mengurangkan sedikit nasinya. Pasti mereka juga faham. Cara yang lain adalah dengan membahagikan nasi putih tersebut. Sebahagian untuk dimakan, sebahagian disimpan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam peti sejuk.
SERING SAYA TERSENTAP MALU...
Bukan apa, sering saya tersentap malu tatkala menonton klip video yang memaparkan perjuangan insan-insan hebat seperti 'mereka'. Ada dalam kalangan mereka yang tidak sempurna fizikalnya, ada juga sang ibu yang menggendong bayi kecil sambil berharap ada insan yang membeli jualannya. Tidak kurang juga ayah-ayah yang terduduk termenung memikirkan, apa hari ini dia boleh menafkahi keluarganya dengan sesuap nasi. Bahkan, mereka yang sudah terlalu lapar, belum menjamah satu pun makanan sejak kelmarin. Tenaga yang tersisa dimanfaatkan hanya untuk menyelongkar tong sampah. Berharap adanya sisa-sisa buah, lauk - pauk yang dibuang orang .
Sebentar, sebelum kalian menghukum mereka dengan bermacam soalan yang berlegar seperti "dah tahu tak dak duit, kenapa tak kerja? "Nak makan tapi kerja taknak? "Hidup senang jaa, tunggu orang bagi duit? "Lelaki, takkanlah lembit sangat, cuba cari kerja dulu sebelum minta?"
Kita tahukah, betapa mereka telah berusaha sebelum itu? Adakah mana-mana orang yang suka memakan sisa tinggalan individu lain? Boleh jadi, seharian suntuk Pak Cik, Uncle, Auntie, Tok Wan, Nek atau sesiapa sahaja yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang telah pun membanting tulang mencari kerja, berharap ihsan insan lain sudi mengupah mereka. Hidup ini, untuk kita belajar meraikan manusia lain yang berbeza kisahnya daripada kita. Tak mampu menjadikan tangan kita ringan membantu, mengapa dirajinkan mulut untuk menghukum?
Berkemungkinan, seorang ayah yang tempang kakinya memulakan paginya berjalan jauh dari satu tempat ke tempat yang lain. Beliau menjual belon kanak-kanak. Bayangkan perasaannya, ingin menghibur tiga anak dengan satu belon pun tidak mampu. Bahan dagangan itu bukan miliknya. Sekadar menjual jualan orang lain, lalu diberi upah mengikut seberapa belon yang telah terbeli. Kita mungkin terfikir, "satu belon pun tak mampu?" "Miskin sangat ka?" Yaa... Memang ada mereka yang semiskin ini. Jika tiada seorang pun yang membeli belonnya, bagaimana dia akan punya wang untuk mengisi perut yang sudah menangis kelaparan.
Sahabat yang saya cinta kerana Allah, makanlah apa-apa yang kalian mahu. Minumlah apa yang kamu suka. Satu saja saya mohon, jangan dibazirkan jika sudah tidak larat menghabiskan. Di luar sana, terlalu ramai yang terpaksa tidur dalam keadaan perutnya kosong. Ada yang tetap berjualan jeruk mangga di jalanan walau langit sedang terlalu bersedih. Tidak dipedulikan tubuhnya kebasahan. Teringatkan bidadari memujuk anak di rumah. "Ayah pasti pulang nak, bawakan kamu susu". Tunggu sekejap lagi. Kalau dah mengantuk sangat, tidur saja dulu. Nanti mak kejut bila ayah dah balik". Percayakah kalian, adanya ibu bapa yang asyik berfikir untuk mendapatkan susu bayi kecil mereka. Sedang perut sendiri sudah mengeluarkan bermacam bunyi meminta segera diisi. Tangan si tua menggeletar, menahan lapar yang tidak terbayang.
KATAKAN, ATAS ALASAN APA KITA PERLU MEMBAZIR?
Jadi, apa alasan kita untuk terus membazir? "Laa, dah kenyang kan, takkan nak makan juga, nanti muntah macam mana? "Ayam apa ni, apasal rasa macam ni. Tak lalu aku." "Pedas gila sambal sotong ni, nak orang sakit perut ka apa". Ni yang malas nak makan ni!" "Wei, banyaknya nasi kedai ni bungkus...Mampus aku kalau nak telan semua ni."
Ini mungkin antara alasan yang pernah kita hidangkan di atas pinggan kosong milik sang fakir miskin. Saya faham, kadang nak buat macam mana jika masakan tersebut tak mampu penuhi anak tekak. Tapi perlukah sampai memilih untuk membuangnya? Mungkin tak buang, tapi dibiarkan atas meja makan dan berharap ada orang sudi memakannya nanti. Bangun esok pagi, lauk sudah basi sebab tiada siapa pun yang makan.
Di rumah mak selalu berpesan. "Hang pi peqangat lauk tu sat, satni basi. Benda elok lagi, takkan nak pi buang. Kot esok ada oqang lain nak makan kaa?"
HAKIKATNYA, KITA YANG MEMILIH UNTUK BERSIKAP BAGAIMANA
Allah jadikan akal bukan sekadar untuk memikirkan perkara-perkara besar, isu-isu dunia. Nak selesaikan masalah pembaziran yang puncanya diri sendiri pun tak mampu. Kita yang memilih, respon yang bagaimana akan diberikan terhadap makanan yang masih elok itu. Namun dalam banyak-banyak pilihan, yang kita terfikir cuma satu. " Buang ajalah... Bukan ada orang nak makan pun.
Saya kongsikan tips yaa (sekadar pandangan penulis bagi mengelakkan pembaziran)
1. Hangatkan lauk / makanan jika perlu, kemudian simpan dalam peti ais ataupun microwave.
2. Jika duduk di rumah atau rumah sewa dengan rakan, pelawa laa mereka jika makanan tersebut kita beli banyak.
3. Agihkan kepada jiran jika kita masak lebih.
4. Bungkus mana-mana lauk atau makanan yang masih elok dan berikannya kepada orang yang memerlukan seperti gelandangan ataupun pedagang tepi jalan. Bungkus elok-elok sebab kita nak bagi kepada orang, biar kemas.
5. Minta kuantiti nasi (makanan) dikurangkan jika beli dari luar.
6. Jika rasa ia tidak sesuai dengan anak tekak, apa kata awak masaklah kembali lauk tu dengan cara yang sesuai dengan selera. Tambah kurang mana yang patut sampai awak rasa selesa dan selera untuk makan.
7. Jika kita dan rakan-rakan di rumah sewa (contoh) bercadang untuk beli nasi putih dan lauk (yang dibungkus secara berasingan), masukkan nasi putih ke dalam satu bekas ataupun periuk kecil. Kemudian, masing-masing ambil nasi setakat yang perlu sahaja. Lebihan nasi boleh disimpan untuk hari esok setelah dihangatkan. Buat nasi goreng pun sedap juga ni...
7. Jika masih tak mampu nak habiskan dan yakin tiada siapa yang boleh tolong makan, bagi laa lauk kepada mana-mana kucing atau anjing.
8. Nak buang boleh tapi pastikan ia (makanan/minuman) itu betul-betul dah rosak (basi), berbau, berkulat dan sebagainya yang menyebabkan ia perlu dimasukkan ke tong sampah.
9. Ambil makanan di kenduri jangan sampai terlalu tamak.
10. Makan minum jangan sampai membazir, lihat orang sekeliling yang masih berjuang setiap hari hanya untuk memastikan diri mereka tidak mati asbab kebuluran.
Comments
Post a Comment