MATA YANG MERINDUKAN KEBAIKAN

 Manusia tiada yang sempurna. Yaa, sampai bila-bila pun, mustahil kita akan bertemu seseorang yang baik tanpa pernah melakukan sebarang kesalahan. Hanya rasul dan nabi sahaja yang Allah pelihara mereka daripada berbuat maksiat. 

    Namun, adakah ini alasan untuk kita tetap berdosa? Benar, dosa masih akan ada, seperti sungai yang mengalir dengan air yang keruh. Sekalipun kita bertaubat daripada mana-mana dosa, akan ada juga dosa lain yang kita lakukan baik kita sedar mahupun sebaliknya. Tapi tidak mengapa, minta maaf sahaja dengan Allah. Dia pasti mengerti bagaimana kita sedang memaksa diri ini daripada asyik selesa dengan maksiat. Yaa, kita usaha, doa dan tawakal. Terlalu awal berputus asa hanya membinasakan diri sendiri kelak. 

    Salah satu cara yang saya suka lazimi, apabila diri terasa sangat sakit kerana barah dosa yang semakin merebak adalah dengan memerhati orang sekeliling saya. Saya bersyukur Tuhan hadiahkan saya sahabat-sahabat dan orang sekeliling dengan bermacam rencah sikap dan perangai. Banyak yang saya pelajari daripada mereka. Kawan-kawan saya baik lelaki mahupun perempuan, setiap daripada mereka pasti pernah membuat hati saya tertunduk malu. 

    Maka, penulisan ini saya fokuskan terhadap kebaikan yang mata saya nampak jelas daripada mereka. Duduk sebumbung, belajar sekelas, banyak kali saya ditarbiah tanpa mereka tahu. Lidah yang diam ini sebenarnya memiliki sepasang mata yang galak berbicara. Merindukan kebaikan daripada mereka. 

Antara sikap mereka yang membuatkan saya kagum ialah:

1. Selalu mengucapkan terima kasih

    Disebabkan, sekarang kuliah kami sudah pun dilaksanakan secara bersemuka, maka keraplah kami perlu ke kampus. Sebelum masuk kawasan kampus, kami harus imbas mysejahtera terlebih dahulu di pondok pengawal. Sahabat saya yang memandu kereta ini, bibirnya tidak pernah lekang daripada mengucapkan "terima kasih" kepada mana-mana pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu. 

    Bahkan, jika keluar ke restoran atau gerai makan, pasti kata itu terbit untuk pramusaji yang datang mengambil pesanan dan yang menghidangkan makanan kepada kami. 

"Laa, tu pun kau nak rasa kagum ka? Biasa jee tu, budak kecil pun pandai cakap terima kasih? Aku ingat apa lah tadi yang nak dibanggakan sangat".

    Pertama, sebutan terima kasih beliau sangat jelas. Dalam keadaan tenang, disusun penuh tertib dua perkataan itu hanya untuk dilafazkannya kepada individu yang beliau tidak pernah kenal. 

    Kedua, sering sahaja terima kasih itu disertai dengan senyum manis

    Ketiga, saya sendiri kadang sukar melakukannya. Risau andai kata yang diucapkan, tiada yang sudi menyambutnya. Yaa, saya seorang dewasa masih lagi payah menuturkan bahasa cinta itu. Barangkali malu jika yang dituju tidak pula mendengar. Berbeza dengan beliau, sama ada individu tersebut  membalas "sama-sama" atau hanya sekadar senyum bahkan mungkin juga ada yang biasa-biasa sahaja riak wajahnya. Sahabat saya ini tetap dengan sikapnya yang suka mengucapkan terima kasih.

#TERIMA KASIH SAHABAT


2. BERSABAR KETIKA BERDOA

Haa, sahabat saya yang seorang ini mungkin dalam ramai-ramai kami beliau yang paling pelik bin ajaib. Nak tahu sebab apa? Sepanjang saya hidup 22 tahun ini, beliau orang pertama yang saya sedar akan berdoa dengan penuh kesungguhan dan kesabaran. Mana tidaknya, saya sendiri paling kurang memperuntukkan waktu kadang tidak sampai lima minit pun untuk berdoa selepas solat. Ya laa, bilik saya tu panas, Malam atau siang, terasa hangat haba sahaja walaupun kipas elok berputar atas siling. 

    Ada waktunya, saya tergesa-gesa. Segera nak sudahkan janji temu dengan Tuhan kerana ingin  memenuhi undangan  manusia yang tidak sabar menunggu. Terpaksalah saya cepat-cepatkan doa. 

    Masalahnya,   bukanlah sebab pihak lain tapi diri sendiri. Makan banyak, kemudian baru nak solat. Boleh bayang tak solat saya waktu itu, mengantuk sangat! Habis solat, baca doa 'cincai-cincai'.  Nak tidur awal katakan. Ambil dulu telefon bimbit, takut-takut ada mesej penting terlepas. Masalahnya, pegang  jaa telefon terus hilang mengantuk. Pahala berdoa ke mana, masa terbuang leka dengan telefon. Tidur awal dah jadi ajak-ajak ayam. Paling kasihan sekali, dua tiga ekor syaitan sedang ketawakan saya.

    Baik, baik...Tadi nak cerita pasal kawan saya kan?  Berbalik kepada kebaikan yang sahabat saya lakukan ini.

    Belliau boleh mengantungkan  kedua-dua tangannya pada langit harapan lama juga. Ada 20 minit, setengah jam dan mungkin paling singkat 15 minit. Lebih 30 minit pun ada. Terkejut tau saya tengok. "Tak penat ka tangan tu?" "Ishh..Dia ni doa apa agaknya, lama betul ni". Ada waktunya, saya habis solat dulu, tapi saya belum berganjak dari sejadah.  Entah, tapi saya memang sengaja nak lihat kawan saya itu berdoa. Tenang saja. Tidak nampak tergesa-gesa. Seolah-olah waktu selepas  solatnya   memang telah dikhususkan  untuk  Tuhan sahaja. Bayangkan postur duduk dan tangannya yang langsung tidak  berubah selama 20 minit. Masih elok bersimpuh  menghadap kiblat. Tidak pula  diletakkan siku atas pahanya. Matanya betul-betul melihat kedua-kedua tapak tangan. 

    "Nih, hampa kalau nak tanya kami, dia dok doa apa. Lama sangat sampai lagu tu, jawapan dia, kami pun tak tau. Yang kami tau, kami suka sungguhlah tengok  dia dok doa.

    Sudi saya ingatkan  pembaca sekalian, saya yakin ramai lagi yang bersungguh-sungguh saat berdoa. Saya pula menulis hanya mengambil ilhamnya daripada secebis pengalaman hidup ini. Mungkin, kalian sudah acap kali bertemu orang seperti ini. Namun jujur saya katakan, beliau ialah orang pertama yang saya kenal dengan kesabarannya saat berdoa. Saya kagum terhadap benda yang saya nampak melalui bahasa tubuhnya. Perkara yang saya tidak nampak, mustahil untuk saya nukilkannya.

Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA