CERITA-CERITA DARI PASAR MALAM
Ada ketika, yang kita perlukan hanya mengizinkan diri sendiri berada di jalan yang penuh dengan orang-orang yang kita tak pernah kenal pun. Yaa, waktu ini merupakan satu kesempatan yang terbaik untuk kita kembali memaknakan kehidupan. Cuba memahami hal-hal biasa yang dilakukan orang-orang biasa di tempat yang biasa-biasa sahaja. Semoga nanti, terselit hikmah yang luar biasa.
Sesekali, biarkan diri kita tenggelam dalam lautan manusia. Di sini, kita akan nampak betapa setiap orang sedang sibuk untuk mencapai tujuan mereka. Seorang ayah yang berjualan pulut panggang, sabar menghapus keringat di dahi tuanya. Bukti usaha lelaki separuh abad itu, sedang tabah menongkah takdir kehidupan. Di sudut lain, seorang nenek yang lembut raut wajahnya, berkain batik lengkap berbaju Kurung Kedah dan berselendang putih, sedang memangku sang cucu sambil menunggu penuh harap. Wajah tua itu sungguh berharap, kerepek pisangnya dibeli pelanggan yang bermurah hati.
Tidak menghairankan di sebuah gerai mihun sup, seorang pemuda rakus meneguk segelas teh ais cincau sambil tangan kirinya mengayun-ayunkan putung rokok ke arah lantai. Lagaknya masih biasa, baginya tidak ada yang salah dengan 'merokok', sekalipun di kedai makan. Lelaki itu langsung tidak segan silu menghembuskan racun nikotin. Dia tidak peduli pelanggan lain yang sedang menahan pelbagai rasa.
"Manusia macam ni laa yang buat aku geram."
"Dah la tak menyempat nak mati, boleh pula buat dekat tempat orang ramai!" .
Mungkin itukah suara hati seorang ayah yang terpaksa melangkah laju keluar dari kawasan gerai bersama keluarga kecilnya. Dia tidak betah berada lama di situ, seolah-olah mengizinkan sang perokok membunuh keluarganya perlahan-perlahan. Kedengaran pula suara seorang ibu, resah memujuk anak kecilnya yang merajuk kerana tidak dibelikan kereta mainan. Di bahu jalan pula, tampak seorang lelaki di awal usia emas, 'seronok' menghalau lalat-lalat yang cuba meragut keindahan hidangan rojak buahnya.
Di bahagian bahan basah yang ada menjual ikan-ikan segar dan bermacam jenis sayur beraneka warna, suara riuh rendah penjual dan orang ramai mula tenggelam timbul dengan jeritan...
"Siapa yang salah?"
Adakah lelaki yang marah dek puncak kesabarannya sedang teruji atau remaja naif yang hanya mampu menundukkan pandangan kerana menahan malu yang teramat? Maruahnya telah dipijak-pijak di sebuah pasar malam. Mungkin juga ini salah banyak pasang mata yang hanya tahu melihat, namun kaki seolah kaku, telinga seperti tuli tiba-tiba. Barangkali, mereka juga takut terkena tempias lelaki baran tadi.
Mungkinkah sebenarnya kita yang bersalah? Tetap memilih berada di zon selesa sebagai penulis dan pembaca kisah-kisah ini, tanpa berusaha memperbaik diri, menjadi sebahagian masyarakat yang lebih membumikan simpati dan empati dalam diri masing-masing?
Benar, sengaja saya hidangkan buat kalian secebis kisah yang kadang kita terlupa untuk mempelajarinya, hanya kerana ia cuma berlaku di 'sebuah pasar malam'. Bukannya hotel mewah lima bintang di tengah-tengah kota metropolitan, bukan juga rumah berlaku di inap yang megah dengan nilai estetika tradisionalnya, terlihat anggun sedikit angkuh dengan kayu-kayu Jatinya. Begitulah lazimnya manusia, ada ketika kita cuma mahu memandang penuh kagum atau memberi perhatian apabila melibatkan sesuatu yang mahal, mewah, indah dan yang penuh dengan orang-orang kaya. Hal-hal kecil seperti di pasar malam yang banyak sampah, jalannya tidak rata dan penuh dengan manusia rakus, tidak lagi kita pedulikan. Sampai kaki sendiri tersadung di jalan berlubang, pun kita masih buat-buat tak nampak.
Baiklah, soalan tadi saya tinggalkan untuk kalian yaa... Terima kasih sebab sudi membaca coretan yang saya bawakan dari sebuah 'pasar malam'. Saya sendiri perlu berehat sambil memikirkan jawapannya. Ia sudah menjadi tanggungjawab saya, yang juga sebahagian daripada 'masyarakat' ini.
nice 👍
ReplyDelete