NOVEL: SEINDAH CINTA YUSUF (MENJEMPUT KENANGAN)

 

 "Assalamulaikum warahmatuallah..."

    Selesai memberi salam kedua, Yusuf terus membaringkan tubuh di atas sejadah. Semalaman dia tak dapat tidur. Tengok-tengok, sudah masuk Subuh. Bukannya dia  tidak mengantuk, tapi matanya yang tidak mahu beri kerjasama. 

    Anak jati  Kampung Permatang Tok Gelam itu tersenyum sendiri. Teringat  dirinya dahulu yang pernah dihujani rintik-rintik diskriminasi di negara Uncle Sam tanpa sekaki payung pun, sekarang dia sungguh bersyukur. Berada di  tempat yang cukup selesa untuk meneduhkan segala perasaan, walaupun masih di tanah orang.  

    Sebelum menjejakkan kaki ke sini, Yusuf sudah mendapatkan maklumat melalui carian dalam talian tentang rumah sewa berkonsepkan tradisional Melayu. Sememangnya dia seorang pemuda yang sangat menghargai nilai estetika yang terdapat pada alam semula jadi dan kebudayaan. Ciri-ciri tersebut pula sememangnya lazim wujud pada binaan rumah Melayu lama. Matanya pasti sukar lelap, jika hanya dikelilingi ruangan yang diperbuat daripada batu-bata. Barangkali, kerana rumah mereka di Pulau Pinang juga hanyalah berupa pondok kecil di hujung kampung.

    Dia mengeluh perlahan. Nafas ditarik dalam. Itulah yang dia lakukan saat kenangan silam hadir tanpa dijemput. Dia teringat setiap pagi dan malam, pasti mereka bertiga terpaksa menahan angin dingin yang menggigit sampai ke tulang. Rumah kecil mereka dahulu betul-betul di tepi sawah. Mereka akan meluangkan masa dan saling bertukar cerita di kawasan kecil hadapan rumah.

     Mana mungkin Yusuf akan melupakan gelagat arwah ibunya yang gemar bergurau dengan mereka. Lucunya, Puan Umairah secara tiba-tiba akan menampar perlahan bahu salah seorang daripada mereka. Disuruh sang nyamuk menggigit Umair dan Suci. Begitulah kebiasaannya cara mereka menghiburkan antara satu sama lain. Gurauan mereka sederhana dan sederhana  itu sesuatu yang indah.

    "Amboi hang, syok nampak dok gigit Umair. Dah, dah... Cuba pi hisap darah Suci tu pula. Darah dia lagi manih dari si Umair ni"

     "Mandai jaa mak ni, awat pula daqah cek lagi manih, kan Bang Chaq yang dok suka makan ayaq manih melecaih, patutnya mak panggil geng nyamuk tu pi hisap darah dia banyak-banyak. Hmm, ni yang tak suka ni!"

     Kenangan bersama Encik Hamzah pula cuma diizinkan Tuhan sehingga dia berumur 12 tahun dan adiknya 10 tahun. Jasad lelaki berasal dari Thailand itu  kembali membumi ke tanah berbelas tahun yang lalu.  Tuhan telah memerintahkan sang malaikat pencabut nyawa mengambil roh ayah mereka  saat tubuh kurus itu sedang tidur kelelahan di atas tikar mengkuang. Sungguh, ia kematian yang mengejutkan. Tanpa sebarang tanda, lelaki bergelar ayah pergi  menginggalkan keluarga kecil mereka sebegitu sahaja. Raut wajah sang ayah yang tenang, membuatkan hati mereka juga senang dan reda dengan rencana Tuhan itu. Bohonglah jika tidak sedih, namun begitulah fitrah setiap yang bernyawa. Sampai masanya, kita akan kembali kepada Dia. Tuhan yang menghidupkan dan mematikan.

                  “Dialah yang menciptakan kamu dari tanah sesudah itu ditentukannya ajal mu, dan ada lagi suatu ajal yang ditentukan untuk berbangkit yang ada pada sisi Nya”. (QS Al An’aam : 2).


     Ketika Encik Hamzah masih ada,  hidup mereka tidaklah sehingga perlu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak terlalu mewah dan tidak pula terhambat miskin. Masih utuh dalam ingatannya, setiap kali hari lahir dia dan Suci Kemboja, Encik Hamzah akan menghadiahkan mereka sebuah buku, komik, novel atau kamus. Arwah ayahnya bukan seorang guru, namun memiliki rasa cinta yang amat tinggi dalam budaya pengintegrasian ilmu.

      Bicara mutiara arwah masih tersemat dalam hati dan terngiang-ngiang  di halwa telinganya. "Orang yang boleh membaca, tetapi tidak mahu menghargai nilai buku ialah orang miskin yang pura-pura kaya. Bacalah seberapa banyak buku yang mampu, kerana dengannya kita akan lebih merendah diri meraikan nilai pandangan yang berbeza. Lebih menghormati budaya dan adat orang lain sekalipun kita tidak pernah ke tempat mereka. Yang lebih utama, membaca daripada sumber yang betul, akan membantu kita untuk mengenali Tuhan itu dan memahami mengapa Dia mengutuskan Rasul kepada manusia".

      "Tuhan, sampaikan salam rindu ini kepada ayah..." 

    Yusuf meraup wajah, tangannya pantas memulaskan tombol pintu rumah sewa. Dia harus bergegas kerana ini ialah hari pertamanya memulakan tugas sebagai tutor Bahasa Arab. Beberapa hari yang lepas, dia telah pun bersungguh-sungguh memujuk tuan rumah untuk membantunya mencari pelajar sekolah rendah atau menengah yang mahu belajar asas Bahasa Arab. Dia sudah tidak betah duduk diam di rumah tanpa berbuat apa-apa. 

    Bukanlah dia tidak mahu melakukan pekerjaan  yang lain, namun dirinya belum punya kekuatan yang cukup untuk berhadapan dengan pelbagai ragam masyarakat. Fikirannya cepat gelisah, jiwanya sesak dan badan mudah penat. Bersosial ialah sesuatu yang dia perlu hindari.

     Dia merasakan dirinya terlalu jahat, penunggang agama. Tiada tangan yang sudi menyambutnya ketika dia jatuh nanti. Sekarang dia masih diterima kerana  dunia belum tahu perbuatan keji yang pernah dia lakukan dahulu. Bekas ahli Silence Love bergelar seorang pendidik? Dia sedar dirinya terlalu kotor, namun agama ini juga  telah memerintahkan agar tidak membuka pekung di dada. Aib perlulah didiamkan, sekalipun merasakan diri kita terlalu bersalah. Cukup sahaja Tuhan yang tahu betapa kita sudah cuba berubah, keluar dari kepompong yang lama. 

    Doa yang sering dia amalkan...

Maksudnya: Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan hata bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.

                  (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

    Selain kerjaya yang dia pilih dapat meminimumkan keperluan bersosialnya dengan orang kampung yang lain, dia sememangnya suka Bahasa Arab. Bahkan, episod cintanya akan bahasa syurga ini menjadi lebih mendalam ketika dia dan dua sahabat baiknya iaitu Uwais al-Qarni dan Uthman 'Affan diberi kepercayaan oleh Ustazah Hayati untuk mewakili sekolah  bagi pertandingan kuiz Bahasa Arab. 

    Bermula sejak tingkatan tiga sehingga tingkatan lima, hubungan mereka semakin akrab sekalipun ketiga-tiganya dari kelas yang berbeza. Minat dan kencederungan berbahasa Arab, berjaya mengikat tali persahabatan mereka. Yusuf setuju dengan peribahasa 'patah tumbuh hilang berganti', buktinya Tuhan pernah meminjamkan Alex untuk menjadi sahabatnya selama lapan tahun di Amerika. Namun, perasaan itu tidak akan mungkin sama kerana kita menjalaninya dengan orang-orang yang berbeza.

"Sahabat, semoga kalian baik-baik saja yaa...Kita mungkin sudah di jalan yang berbeza, namun tetap dipayungi langit yang sama bukan?"



 "Allah...Hai laa, lupa tanya jalan nak pi dewan tani tu. Dah laa lorong kampung ni boleh tahan banyak.

    Yusuf baru teringat, dia lupa nak tanya Pak Man di mana Dewan Seri Tani yang akan dia gunakan untuk kelas nanti. Ini salah satu sikapnya yang banyak menjengkelkan Alex. Cemerkap sahaja kerjanya.

    "Hang la Yusuf, awat laa cuai sangat. Laa ni lagu mana nak sampai dewan kalau tak tau tang mana." Marah Yusuf pada diri sendiri. Bengang dengan dirinya yang suka terlupa benda penting.

Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA