BERI MAKANAN DAN BUKU PERCUMA

  BERI MAKANAN PERCUMA...

    Pernah tak kalian didatangi peminta sedekah kanak-kanak, wanita berusia, remaja lelaki atau lelaki yang sudah tua? Selalunya, mereka akan masuk ke lorong-lorong kawasan perumahan ataupun jalan-jalan kecil dalam kampung dan memperkenalkan diri mereka daripada mana-mana rumah anak yatim ataupun pusat tahfiz. 

    "Tutup  pintu cepat, kaih laa. Sat ni oqang tu mai kat rumah kita pulak". 

Tu...Tu, lepa nampak kita dok buka pintu, sat lagi lepa ingat kita nak bagi sedekah". 

 "Nih, lain kali tok sah dok bagi kat oqang lagu tu".

Qeja mai rumah orang  nak duit. Entah-entah penipu jaa ni". 

"Oqang macam lepa ni pandai, sekali kita bagi, esok-esok ni dia mai sekali lagi. Dia dah cop dah rumah kita selalu baik bagi sedekah kat lepa". 

    Pernahkah ayat-ayat begini meluncur laju keluar dari  bibir kita? Pasti pernah walaupun hanya sekali. Sebenarnya stigma seperti ini sudah terlalu sebati dalam kehidupan masyarakat kita. Saya faham, kadang kita hanya mahu berhati-hati daripada ditipu peminta sedekah. Kita takut andai terus memberi wang, mereka akan gunakannya untuk perkara-perkara yang tidak baik sehingga mendatangkan mudarat kepada diri sendiri ataupun orang lain. Maka, kita mengambil pendekatan untuk menutup pintu rumah sedangkan dari luar salam kedengaran berkali-kali. 

     Bukankah lebih beradab dan sopan, kita tetap menjawab salam mereka dengan bermanis muka lalu beritahu elok-elok bahawa kita tidak mahu menyumbang ketika itu. Kita boleh membuat isyarat tangan atau sekadar menggeleng kepala sambil melempar senyum tanda kita tidak berniat untuk memberi duit. 

    Bahkan, terdapat segelintir individu yang agak agresif, menanti di hadapan pintu dengan tujuan untuk memarahi dan mencaci peminta sedekah dengan alasan mereka itu penipu. Anak-anak kecil dalam rumah hanya memerhati kelakuan tidak berakhlak kita. Besar nanti dia pula akan melakukan perkara yang sama terhadap golongan ini. Terus menghukum dan menghina.

    Beginilah sahabat yang saya raikan, tak mahu bagi duit kerana risau dibohongi ialah hak anda. Saya sendiri adakalanya tenggelam dalam lautan dilema ini. 


 "Nak bagi ka tak nak".

     Saya juga berpandangan,  sememangnya kta wajar berfikiran  sedemikian demi menjaga  harta kita daripada jatuh ke tangan yang salah walaupun cuma RM1 nilainya. Namun, kita tetap boleh mendapatkan pahala bersedekah  dengan cara memberi mereka apa-apa makanan yang masih elok. 

    Kenapa mesti makanan? Sebabnya mustahil mereka akan membuang makanan yang diberi. Pesan baik-baik kepada mereka...

 "nak bagi adik duit, akak belum mampu. Tapi hari ni akak ada masakkan lauk lebih, jadi akak ingat nak  bagi nasi dan lauk sikit untuk adik. Nanti bila-bila lapar, boleh makan". Nah, adik ambil yaa, nanti jangan lupa makan, takut basi pula".  

    Makanan pula tidak semestinya  nasi dan lauk. Boleh juga bagi biskut, roti, air kotak, air mineral, kueh, masakan bergoreng ataupun bersup. Buah-buahan pun  boleh, asalkan ia masih boleh dimakan. Tidak rosak, berkulat, masuk angin ataupun tamat tarikh luputnya. 

    Selain itu, jika kalian ragu untuk beri duit dan tiada makanan lebih untuk dikongsi, saya cadangkan bagi buku sebagai hadiah. Ya, buku-buku terpakai sama ada komik pendidikan, novel remaja muslim, majalah  seperti Asuh atau Ana Muslim. Maksud saya, andai kalian mempunyai buku-buku yang masih elok untuk dibaca dan bermanfaat kandungannya, berilah kepada peminta sedekah terutamanya  kanak-kanak. Nak bagi buku baru pun boleh, terpulanglah kepada anda.  

    Mana tahu, ada sesuatu dalam buku tersebut yang kelak akan mengubah hidup si anak kecil untuk lebih bersungguh-sungguh. Siapa tahu kelak dialah pencetus revolusi dalam dunia pendidikan kita. Mungkin juga, sebuah komik Sains yang nipis  mampu membuat jiwanya berseloroh kegembiraan.

 "Seronoknya baca buku ni, dalam Bahasa Melayu pula tu, senang sikit nak faham." "Wah!!!, nak bacalah buku ni.  Nanti balik boleh cerita semula kepada adik-adik. Mereka pun suka tengok gambar-gambar haiwan yang menarik macam dalam buku ni".

     Berilah apa-apa buku yang bermanfaat daripada ia  dsimpan elok dalam rak berkaca. Akhirnya, hanya habuk yang sudi membaluti kulit buku. 

    Percayalah kita akan lebih gembira dengan cara ini. Mereka yang mendapat makanan juga dapat mengembalikan tenaga.  Seharian berjalan kaki   dari satu rumah ke rumah yang lain, pasti penat bukan? Mereka yang dihadiahkan buku pula, akan lebih cakna akan kepentingan memelihara ilmu pengetahuan melalui budaya membaca. 

    Belajarlah untuk bersangka baik dengan setiap orang yang hadir dalam kehidupan ini. Hadirnya mereka bukan sebab kebetulan, namun Tuhan yang telah mentakdirkan. Jika kita  tetap tidak mampu bersedekah, iringlah langkah mereka dengan doa. Tuhan tahu kita  sudah mencuba yang terbaik untuk memberi. Maka, doamu pasti dikabulkan. Yakinlah juga, peminta sedekah tersebut akan turut mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan kesenangan terhadap kamu sekeluarga.  


# tak akan rugi jika bersangka baik
# tak akan hilang maruah jika cuba sabar daripada sikap marah
# tak akan miskin, jika terus memberi selagi mana kita mampu
#setiap orang sedang berusaha menafkahi diri dan keluarga dengan cara yang termampu


Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA