PETIKAN AYAT NOVEL GURU AINI; 8
"Menjadi guru adalah panggilan jiwa"
Kelas yang dia ajar pun dah banyak".
Nak didik anak orang, aku pun kena latih diri aku jadi rajin dulu".
Keluarga saya sekarang memiliki dua orang guru Pendidikan Islam. Mereka sedang berjuang sebaik mungkin agar taklif sebagai pendidik dapat dilunaskan dengan penuh amanah. Saya pula masih duduk di bangku siswi guru di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Kedah. Namun walaupun kami bertiga membawa nama pendidik yang sama, kami memiliki nuansa yang berbeza tentang 'guru'.
Kakak sulung saya yang sudah hampir tiga tahun bergelar seorang guru agama di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Perak, masih meminta mak untuk mendoakannya. Saya teringat, pada suatu petang, beliau bersimpuh di hadapan mak. Sedang asyik bersembang, kakak lantas berkata kepada mak...
"Mak, doalaa kat cek. Doa bagi cek ikhlas nak mengajar".
Kerjaya seorang guru tidak pernah terlintas di benaknya. Sama sekali tidak! Namun bukanlah bererti Along (kakak) benci menjadi guru, cuma sahaja hatinya kecilnya masih belum cukup akur dengan takdir ini. Cita-citanya ingin menjadi akauntan yang menghitung nombor-nombor dari seluruh dunia. Sesuai dengan prestasi cemerlangnya sebagai seorang pelajar akaun di sekolah menengah.
Namun Along tetap terima tawaran bergelar siswi guru Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Sarawak. Ayah yang paling bersemangat mendengar perkhabaran ini. Puteri sulungnya lulus diterima bagi panggilan kedua oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setelah ramai remaja sebaya dengannya terpaksa menolak tawaran.
Bumi Kenyalang itu terlalu jauh bagi kami orang utara semenanjung. Mungkin juga agak mahal bagi mereka yang dari lingkungan keluarga kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tiket penerbangan sahaja sudah berapa yang perlu dibayar. Belum lagi duit makan minum di sana. Tidak mustahil juga mereka yang menolak itu atas alasan tidak sanggup berjauhan dengan keluarga. Menahan rindu jarak jauh, tidak semua mampu melakukannya. Lebih-lebih lagi jika anak tunggal.
Apa-apa pun, sebagai adik saya sangat kagum dengan Along. Bahkan sangat menghormati guru-guru berbangsa Cina di sekolahnya kerana tidak pernah menyisihkannya. Jika dulu ada juga seorang guru perempuan Melayu di sekolahnya. Apa-apa masalah, mereka berdua boleh saling berkongsi pandangan. Tapi kini tidak lagi. Beliau menjadi satu-satunya guru Melayu muslim tunggal di sekolah tersebut. Alhamdulillah, guru-guru dan pemimpin sekolah walaupun berlainan bangsa, tetap sahaja memperlakukannya dengan baik, penuh hormat. Tiada isu beliau dianaktirikan.
Selain itu, pada hemat saya beliau masih boleh bertahan untuk menjadi guru adalah kerana sikapnya. Beliau seorang yang sangat bersungguh-sungguh menjalankan amanah yang sudah tertakdir di Luh Mahfuz walaupun jiwanya berkali-kali memberontak.
Comments
Post a Comment