PROJEK BUKU TULIPBIRU
PROJEK BUKU TULIPBIRU
1. INFAQ BUKU UNTUK MASJID, SURAU DAN R&R
Sesebuah masjid tidak semestinya memiliki perpustakaan mini untuk menjadikannya salah satu pusat pembudayaan amalan membaca dalam kalangan masyarakat. Ia pasti memerlukan kos yang tinggi dan pelbagai aspek lain yang harus dipertimbangkan untuk menubuhkan perpustakaan dalam kawasan masjid. Cukup sekadar terdapat rak-rak kecil ataupun bakul yang diisi beberapa buah buku yang diletakkan di mana-mana sudut yang bersesuaian.
Kita sedia maklum, sekalipun masjid tersebut berada dalam kawasan institut pengajian, ia juga kerap dikunjungi orang luar yang datang singgah untuk menunaikan solat. Bahkan, ada yang memilih masjid sebagai tempat berehat setelah seharian penat memandu. Ada juga yang membawa anak-anak ke masjid atau surau. Bukankah lebih cantik, andai isteri yang uzur syari’e dapat membacakan anaknya sebuah cerita sementara menunggu suami selesai menunaikan kewajipan kepada Tuhan Yang Esa.
Bagi saya tidak semestinya buku, komik atau majalah tersebut berunsurkan Islamik seperti Buku Ana Muslim dan Komik Asuh. Komik seperti Upin Ipin dan sains pendidikan yang bertemakan zaman prasejarah mahupun zaman haiwan-haiwan purba juga boleh disertakan. Boleh juga diletakkan komik peribahasa serta novel-novel remaja seperti karya Hilal Asyraf dan penulis lain. Saya berpandangan, apa-apa sahaja yang mendatangkan manfaat, menambahkan ilmu serta tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam, maka ia merupakan sesuatu yang bernilai. Insya-Allah, pasti adanya ganjaran istimewa untuk pewakaf.
2. BUKU RAYA
Ingin saya tegaskan bahawa, ia bukanlah idea saya. Ilham ini saya peroleh daripada cadangan Tuan Kiridaren Jayakumar, pengasas kedai buku The Bibliophofile. Cadangan beliau yang satu ini benar-benar memaksa otak saya untuk terus bersetuju dengannya.
Duit raya kita bagi, buku raya pun kita bagi. Sebelum ada suara-suara yang menentang, izinkan saya kongsikan mengapa sebahagian besar dalam kalangan orang dewasa pasti tidak bersetuju dengan idea ini dengan pelbagai persoalan...
Pertama sekali, sikap segelintir ibu bapa yang tidak percaya dan yakin bahawa pada zaman serba canggih ini, masih ramai kanak-kanak yang gemar membaca buku fizikal. Stigma kita dari awal pun sudah salah! Meletakkan citra cinta anak-anak terhadap buku pada tahap yang bawah. Ibu bapa yang lain pula bersungguh agar tidak diberikan buku kepada anaknya, kerana tahu buku tersebut mustahil dibaca. Paling kurangpun, anak hanya seronok dan teruja melihat ilustrasi-ilustrasi dalam buku. Mengait angan-angan daripada sebuah karya fiksyen.
Tidak mengapa jika tahu anak lebih suka membelek gambar dalam buku disebabkan kemahiran membacanya masih belum kukuh. Bukankah itu lebih baik berbanding seharian anak bermain gajet sahaja? Mana tahu, anak mula mengisi masa untuk melukis berdasarkan buku yang dibelek? Daripada hanya buka tutup buku, kini kemahiran psikomotornya juga semakin berkembang baik melalui aktiviti melukis dan mewarna.
BEBERAPA CARA YANG BOLEH KITA LAKUKAN BAGI AKTIVITI BUKU RAYA INI IALAH:
1. Letakkan kotak yang berisi buku di tengah ruang tamu bersebelahan meja kueh
2. Lakukan kuiz bertemakan 'hari raya di Malaysia'.
Pemenang pertama: boleh memilih satu daripada lima buah buku yang disediakan
pemenanang kedua: boleh memilih satu daripada tiga buah buku yang disediakan
3. Letakkan buku, komik atau majalah menarik (bermanfaat) yang dibalut cantik di mana-mana sudut bersesuaian dalam dan luar rumah. Tampalkan pelekat yang tertulis:
"Hadiah misteri untuk anda.
Anda boleh mengambil satu daripada hadiah tersebut jika berminat!"
4. Tanyakan kepada kanak-kanak yang datang beraya (minta duit raya) sekiranya mereka juga mahukan 'buku raya'
3. HADIAH BUKU UNTUK PEDAGANG KECIL
Sekiranya anda pernah membaca salah satu artikel saya di blog, pasti sudah boleh meneka makna penulisan ini. Yaa, saya benar-benar ingin Allah memudahkan urusan, melapangkan masa, memanjangkan usia dan menghilangkan sesak di dada sehingga tubuh kecil ini mampu berbakti buat pejuang cilik nusa. Acap kali sepasang mata sepet ini disapa mesra sepasang mata jernih. Mata yang memandang saya dengan penuh cinta dan harapan
“Akak, beli laa makanan yang saya jual ni”.
“Takpa dik, akak tak nak. Terima kasih yaa…”
Kini saya semakin dewasa, sudah matang walau masih menatang dulang keringat seorang siswi guru. Saya bersumpah kepada diri ini, agar pedagang-pedagang kecil ini tidak tersia masa mereka menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba. Benar, itulah rencah dalam perniagaan. Ada waktu untung, ada ketika tidak lena memikirkan kerugian. Tapi tubuh sekecil itu, yang kurus dan tetap teguh diratah angin malam. Tetap sahaja berjualan jeruk mangga di dataran luas yang penuh dengan lautan manusia. Andai diri ini mampu menghibur sukma miskin itu, pasti dititpkan sebuah buku yang bermakna.
Maka, selepas ini saya perlu pastikan dalam beg terisi buku kanak-kanak dan remaja. Andai berkesempatan, dapatlah saya hadiahkan buku tersebut kepada mereka yang gigih membantu ibu ayah berniaga.
Sebuah buku hanyalah helaian-helaian kertas bertinta hitam. Tinta itu akan menjadi tinta emas jika dibaca dengan ikhlas dan penuh kesungguhan untuk mencedok ilmu-ilmu yang dititip ikhlas oleh sang pengkarya.
Comments
Post a Comment