ULASAN BUKU: GURU AINI

 GURU AINI

 

    Novel ini nipis sahaja, bagi pembaca novel seperti saya, ketebalan buku itu penting. Tidak seronok dan seperti kurang puas jika membaca sebuah novel yang nipis. Tetapi saya sedar, seorang pembaca itu harus bersifat rasionalis, jangan terlalu mendiskrimninasi buku sebelum membacanya.

     Sejujurnya, saya  bukan penggemar buku dari negara republik ini (Indonesia), walaupun ditulis dalam Bahasa Melayu, masih sukar untuk saya hadam corak penulisannya kerana beberapa perkataan dan istilah yang jauh berbeza dengan bahasa kita. Kadang saya membacanya dengan makna yang difahami seperti kebiasaan karya-karya penulis Malaysia, sedangkan penulis tidak bermaksud begitu. Lelah juga sebenarnya untuk menghabiskan bacaan, sehingga bayang-bayang takut meguasai diri dan berkata “Tak faham aku, apalah  penulis ni nak sampaikan”.

     Tajuk  buku itu juga sudah membuatkan saya salah faham. ‘Guru Aini’. Akal saya laju mengiyakan kisah ini bakal membawa saya yang dari utara Malaysia untuk berkenalan dengan seorang guru wanita bernama Aini. Lah…Ternyata Aini itu muridnya. Namanya sendiri ialah Desi Istiqomah.

 Saya mula membaca kala yang lain sedang enak diulit mimpi-mimpi yang pastinya  tidak pernah terjadi. Sanggup saya tidur lambat dan ketawa seorang diri macam orang gila, kerana  terbuai dengan gaya bahasa penulis ini. Manakan tidak, isu yang berat namun dinukil dengan penuh bersahaja. Sepanjang  malam menghadam  karya ini, saya pasti terbayangkan dialog-dialog dalam filem P. Ramlee. Lucu sangat!!! 

    Dalam gelap, bertemankan cahaya telefon bimbit saya cuba mengenali Bu Desi dan beberapa watak lain yang ternyata penuh dengan kejutan. Maka izinkan saya membawa kalian bertemu seorang guru perempuan, masih muda namun berjiwa besar. Cantik pun cantik orangnya. Namanya Desi. Ibunya melarang keras dia menyarung pakaian seorang  pendidik, bukanlah sebab benci. Hanya sahaja tersepit kerana faktor keluarga mereka yang berdarahkan usahawan.  Katanya perusahaan ayah yang megah itu siapa yang akan urus.

     Ayah Desi pula tampak diam tapi sebenarnya  itu tanda beliau menyokong anaknya dalam apa-apa jua lapangan pekerjaan. Desi ingin menjadi guru Matematik kerana baginya negara Presiden Habibi itu terlalu kekurangan guru Matematik.  Bercakap tetang perkataan keramat ini 'Matematik'. peluh mula membasahi riak wajah ini. Jantung tidak mahu tenang, terlalu laju ia berdegup. Sepertinya seakan tidak percaya, seorang saya akan menghabiskan malam yang tersisa  hanya untuk membaca riwayat hidup seorang guru Matematik di sebuah sekolah desa. 

    Hampir sahaja saya pasrah meneruskan bacaan, kerana sudah pasti novel ini akan berkisarkan istilah, nombor dan segala isu yang berkaitan dengan Matematik. Kerana apa? Sudah tentulah kerana, saya dan Matematik itu seperti bulan dan matahari. Bulan ada, jika tiadanya matahari.

  Tapi saya tidak boleh berputus asa, isu  besar yang ingin dilempar penulis kepada pembaca ialah sistem pendidikan di Indonesia. Maka dengan semangat bakal menjadi seorang guru, saya harus berani menghadam karya ini. Jiwa saya mula berspekulasi “ada apa dengan  pendidikan Indonesia, sehingga penulis terkenal mengasak idea menulis  tentangnya”.

     Setelah saya dan Bu Desi bertemu. Hanya satu kata yang boleh saya lafazkan.”Berani…” Seorang remaja perempuan yang sudah terbiasa hidup berbumbungkan langit kota (bandar) masih mahu memilih menjadi pendidik di sebuah daerah yang rata-ratanya hanya “orang-orang biasa”.

      Karya ini langsung membuatkan saya sedar,  yang namanya wanita juga berhak dikagumi dan diangkat namanya dalam gulungan sejarah. Ia membuka ruang minda saya, bagaimana seorang perempuan juga berhasil mengubah lautan prasangka masyarakat kebanyakan yang masih ramai memandang sinis terhadap kemampuan wanita. Naskah ini berjaya membuktikan peranan seorang wanita muda  sebagai pencetus revolusi dalam dunia pendidikan Indonesia. 

 # ulasan belum siap...

Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA