SEINDAH CINTA YUSUF 5

 

5/8/2023

    Yusuf meraup wajah, tangannya pantas memulas tombol pintu rumah sewa. Dia harus bergegas memandangkan ini  ialah hari pertamanya memulakan tugas sebagai tutor Bahasa Arab di kampung itu. Beberapa hari yang lepas,  bersungguh-sungguh dia memujuk tuan rumah untuk membantunya mencari pelajar sekolah rendah atau menengah yang mahu belajar asas Bahasa Arab. Dia sudah tidak betah duduk diam di rumah tanpa berbuat apa-apa. 

    Bukanlah dia tidak mahu melakukan pekerjaan  yang lain, namun dirinya belum punya kekuatan yang cukup untuk berhadapan dengan pelbagai ragam masyarakat. Fikirannya cepat gelisah, jiwanya sesak dan badan mudah penat. Bersosial ialah sesuatu yang dia perlu hindari. Paling tidak, buat masa sekarang.

     Yusuf sering kali  merasakan dirinya terlalu jahat, penunggang agama. Tiada tangan yang sudi menyambut ketika dia jatuh nanti. Dia masih diterima oleh msyarakat kerana  dunia belum tahu perbuatan keji yang pernah dia lakukan dahulu. Bekas ahli Innocent Love bergelar seorang pendidik? Dia sedar dirinya terlalu kotor, namun agama ini juga  telah memerintahkan agar tidak membuka pekung di dada. Aib perlulah didiamkan, sekalipun merasakan diri kita terlalu bersalah. Cukup sahaja Tuhan yang tahu betapa kita sudah cuba berubah, keluar dari kepompong yang lama. 

    Doa yang sering dia amalkan...

Maksudnya: Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan harta bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.

                  (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

    Selain kerjaya yang dia pilih ini dapat meminimumkan keperluan bersosialnya dengan orang kampung, dia sememangnya sukakan Bahasa Arab. Bahkan, episod cintanya akan bahasa syurga ini menjadi lebih mendalam ketika dia dan dua sahabat baiknya iaitu Uwais al-Qarni dan Uthman 'Affan diberi kepercayaan oleh Ustazah Hayati untuk mewakili sekolah menengah mereka  bagi pertandingan kuiz Bahasa Arab. 

    Bermula sejak tingkatan tiga sehingga tingkatan lima, hubungan mereka semakin akrab, sekalipun ketiga-tiganya dari kelas yang berbeza. Minat dan kencederungan berbahasa Arab, berjaya mengikat tali persahabatan. Yusuf setuju dengan peribahasa 'patah tumbuh hilang berganti', buktinya Tuhan pernah meminjamkan Alex untuk menjadi sahabatnya selama lapan tahun di bumi Amerika. Namun, perasaan itu tidak akan mungkin sama kerana dia menjalaninya dengan orang-orang yang datang dari dunia berbeza. Kerencaman latar belakang keluarga dan faktor sosioekonomi, sudah pasti menghidupkan satu jiwa yang berlainan sama sekali. Tapi, semua itu tidak akan pernah berhasil mematikan fitrah manusia yang sukakan kebaikan. Terlalu idealiskah dia?

  "Sahabat, semoga kalian baik-baik saja yaa...Kita mungkin sudah di jalan yang lain,   namun tetap dipayungi langit yang sama bukan?". Bisik  pemudah itu, cukup perlahan.

    Yusuf menghidupkan motor Honda tua pemberian Pak Man dan memulakan perjalanannya mencari Dewan Seri Tani tersebut. Jenuh nak mencari laa  Yusuf oii... Boleh pula dia lupa nak tanya sekali lagi kepada Pak Man di mana dewan yang akan digunakan sebagai kelas mengajarnya nanti. Ini salah satu sikapnya yang banyak menjengkelkan Alex. Cemerkap sangat Yusuf ni.

    "Hang la Yusuf, awat laa cuai sangat. Laa ni lagu mana nak sampai dewan kalau tak tau tang mana." Marah Yusuf pada diri sendiri. Bengang dengan dirinya yang suka terlupa benda penting. Sudah semestinya Pak Man ada maklumkan keberadaan dewan tersebut, tapi disebabkan Muhammad Yusuf Umair terlalu yakin dia boleh ingat  tanpa mencatat alamat tersebut, inilah padahnya. Hari pertama kerja, dah sesat...

    "Takpa Yusuf, rileks. Setakat kampung besaq ni apalah sangat nak dibandingkan dengan keluasan Boston dulu".  

Comments

Popular posts from this blog

SAYA RINDU AYAH

CERPEN: RAKUS (masih dalam proses suntingan idea)

SAIDINA ZAHIR BIN HARAM, ORANG MISKIN YANG MENGAJAR KITA