SEINDAH CINTA YUSUF 2
20/12/2023
Alex masih
tegak berdiri di hadapan pintu kedai. Dia tersenyum seketika saat teringat
kata-kata lelaki yang sudah dianggap seperti abang kandungnya itu.
"Kau ni bila bercakap, nampak lagi bertuhan daripada kami..."
Entah, kadang dia sendiri tidak faham. Apa yang dia boleh kata, ketika membaca al-Quran terjemahan Arab-Inggeris pemberian seorang perempuan dari masa silamnya, hatinya berasa sangat senang. Dia jatuh cinta dengan konsep ketuhanan yang diceritakan dalam kitab orang muslim itu. Hatinya sedikit terusik sampai tersenyum sendiri, barangkali juga teringat akan gemersik suara si gadis. Ia seolah-olah kembali menyapa halwa telinganya.
Alex pernah juga membaca Bible dan semakin dia menelaah beberapa buah kitab agama Kristian itu, semakin buntu jadinya. Terlalu banyak percanggahan. Dia semakin keliru dalam mendapatlan jawapan. Ditambah pula, terdapat akhbar yang melaporkan kisah-kisah perkahwinan sejenis di gereja tertentu. Pada akal logiknya, LGBT itu bukan tentang meraikan hak-hak manusia mengekspresikan diri dan imej mereka, tapi cukup sekadar mencari alasan untuk berperilaku di luar norma masyarakat.
Terselit perasaan kagum dalam dirinya buat pemilik naskah al-Quran tersebut, membawa sebuah buku sebegitu di tempat awam. Berani sekali. Sudahlah bumi Amerika ini masih tinggi diskriminasi dan prejudis terhadap agama Islam dan komuniti muslim.
Sedang elok membacanya, suara halus datang menegur.
"Maaf Encik, ni buku saya. Tertinggal tadi. Encik, Encik!"
"Ouhh...Maaf. Saya fikir, buku ini tiada pemilik, itu yang saya baca sebentar. Nah...".
Alex kembali tersentak dari lamunan panjangnya.
Pemuda asal Korea Selatan itu tersengih malu sambil menyuakan al-Quran tersebut kepada perempuan berhijab di hadapannya. Namun, dia berasa aneh, apakah di wajahnya terdapat sesuatu, sehinggakan si wanita langsung tidak memandangnya. Bukankah sikap ini sangat tidak sopan. Bercakap dengan seseorang, tapi pandangan entah ke mana. Panas pula hati Alex. Gadis muslimah itu pula tampak sungguh menjaga jarak antara mereka berdua.
"Apa, dia ingat aku ni nak buat macam-macam ka dekat dia? Cis, boleh tahan sombong juga perempuan muslim ni. Langsung tak pandang muka aku yang tengah bercakap ni. Ingat tunggul kayu?" Sempat lagi Alex mengeluh kecewa. Mujur sahaja tahap kesabarannya boleh tahan tinggi juga, itu yang cuma main cakap dalam hati sahaja. Jika tidak, menangis laa perempuan tu terpaksa dengar ayat-ayat berbisa daripada mulut dia.
"Encik macam seronok jaa baca buku ni. Kalau begitu, anggap jaalah buku ni sebagai hadiah dan salam perkenalan saya untuk encik, orang pertama yang tak bersikap rasis terhadap saya di bumi Amerika ini. Ambillah, mana tahu persoalan encik tentang kehidupan, jawapannya ada dalam buku ni. Mungkin juga Tuhan mau encik untuk kembali membaca Kalam-Nya." Laju si gadis berkata, memecahkan suasana yang mula berawan canggung. Alang-alang, lelaki itu juga dari tadi hanya berbahasa Melayu dengannya, walaupun wajahnya langsung tidak menunjukkan dia itu pemuda Melayu Nusantara.
Tampaknya Alex seperti terpukau sekejap dalam dunia sendiri. Lantas si gadis dengan cepat melangkah keluar dari restoran. Dia kelihatan sangat tergesa-gesa seperti mengejar sesuatu. Meninggalkan Alex diam tak terkutik, kebingungan. Sebaik menyedari yang dirinya belum sempat mengucapkan terima kasih, Alex terus mengejar wanita tadi. Sayangnya sudah terlewat. Dia hanya boleh melihat dari seberang jalan, perempuan itu membuka baju sejuknya sebelum memasuki bas awam.
Sekali lagi lelaki bertubuh tegap ini sungguh terpesona melihat pakaian perempuan itu. Dia yakin itu baju kurung, Yusuf pernah menunjukkan gambar raya mereka sekeluarga. Maka, dia membuat kesimpulan, wanita yang sopan namun dapat dirasa ketegasannya ketika berbicara, ialah seorang perempuan Melayu.
Lelaki berketinggian 180 CM itu mengerling jam peraknya. Dia sudah terlewat bertemu Yusuf. Alex berlari-lari anak di laluan pejalan kaki. Prinsip hidupnya, jangan sesekali membuatkan orang lain tertunggu, sedangkan lidah laju menutur kata janji. Langkahnya terhenti apabila kedengaran suara dari belakang menyeru namanya. Sudah pasti semua pekerja restoran tersebut mengenalinya, pelanggan tetap mereka selama hampir dua tahun. Sepucuk surat diberikan kepada Alex, katanya terjatuh daripada buku yang dibawa pemuda itu.
Sebaik sahaja surat tersebut berpindah tangan, perasaannya membuak-buak untuk membacanya. Bukanlah dia berniat untuk menceroboh sesuatu yang bukan haknya, cuma mana tahu dalam surat itu ada tertulis alamat seseorang. Maka, dia boleh kembalikan surat tersebut kepada pemilik asal.
Ketika jari runcingnya pantas membuka lipatan surat tersebut, dia hampa. Bagaimana mungkin dia dapat menjejak siapakah pemiliknya, jika yang ada hanya baris-baris puisi...
AKU
YANG TIDAK SENGAJA MEMANGGIL HUJAN DOSA
(12/6/2021)
Assalamualaikum
sang pemilik dosa
bagaimana keadaanmu hari ini?
baik-baik saja?
atau semalam
lenamu masih dalam terjaga?
mendung
matamu cuba berbicara perlahan
"
hati-hati, lantai bumi sekarang sedang becak
salah aku yang tidak sengaja menjemput hujan dosa
tanpa ku tahu, hati kalian juga terseret basah"
maafkan
juga yaa...
diri ini yang terlalu miskin
untuk meminjamkan kalian
sekaki payung yang lusuh
kerana aku cuma pendosa yang tak berduit
Di hujung bacaan puisi tersebut, Alex tersenyum sinis. Sepanjang dia membaca dan meneliti puisi Barat, terlalu jarang penulis mengangkat tema keluhan seorang manusia terhadap dosa sendiri. Tetapi dia perasan, puisi Nusantara lebih banyak bercerita tentang Tuhan, kehidupan yang meresahkan dan ketakutan yang mematikan. Termasuklah puisi ini.
Entah mengapa, Alex turut dapat merasakan keresahan dan kegelisahan penulis. Dia terdiam, wajahnya ditundukkan ke bawah. Direnung dalam marmar kafe
bercorak abstrak itu. Apakah dia sebagai seorang lelaki yang sentiasa ragu
bahawa manusia itu mustahil boleh mencapai pengetahuan tentang kewujudan
Tuhan, juga kelak akan diperhitungkan segala perlakuan baik dan buruknya ketika
di dunia? Ada apa dengan dosa? Mengapakah si penulis sampai perlu meminta maaf
kepada orang lain kerana salah dan silap sendiri?
Alex meramas rambut yang baru dipotong dengan gaya Two Blocks Cut.
Kemudian dikibas-kibas jaket jenis Trench Coat yang dipakainya. Dia
kembali menatap surat tersebut. Dicium bau surat tersebut yang agak unik. Aroma
kertas lama dapat dia hidu. Sepertinya juga ada bau-bau tulip di situ. Alex
mampu mengecam bau bunga-bunga tertentu, disebabkan sering melawat kedai bunga milik sepeupunya, Kim Ae Ra. Dia tersenyum hairan, bagaimana seorang pemuda yang berjiwa
seni moden dan kontemporari bisa berasa begitu senang saat mendekati
karya penulis berjiwa klasik? Penulis wanita pula, sedangkan dia sudah
terbiasa membaca karya pengarang lelaki. Kata kebanyakan orang, perempuan ini
sifatnya rumit sekali untuk difahami. Tidak pula dia sangka kerumitan itu juga
ikut tersesat dalam bait-bait puisi. Dilipat kemas kembali sepujuk surat tak
bertuan itu, lantas disisipkan semula ke dalam al-Quran. Cuma diletakkannya
pada Surah Yusuf, bukan Maryam seperti asalnya.
"Macam mana laa aku nak cari perempuan ni, paling kurang letak laa
nama pena ka, boleh juga aku ikhtiar cari kat Google. Kot laa dia ada tulis
blog ka... ". Rungut Alex, hatinya berasa sedikit sebal.
Alex yakin perempuan yang memberinya naskah al-Quran tersebut juga ialah
orang yang sama menulis puisi ini. Nalurinya kuat beranggapan begitu. Dia juga
tahu, gaya bahasa penulisan ini serta pemilihan kosa katanya menunjukkan
penulis tersebut berbangsa Melayu dari Malaysia. Sebagai peminat bahasa dan
sastera, dia pernah mengkaji perbezaan penulisan puisi Malaysia dan Indonesia.
Ditambah pula, sepanjang bersahabat dengan Yusuf, memang dia diwajibkan
bertutur dalam bahasa yang pernah diangkat sebagai lingua franca itu.
Ia tidaklah sukar, kerana Alex sendiri seorang polyglot, iaitu
individu yang boleh menutur dalam pelbagai bahasa. Sejak usianya tiga tahun
lagi, Alex mula menunjukkan kecenderungan yang mendalam terhadap bahasa.
"Jika Tuhan mengizinkan, suatu hari kau dan aku pasti bertemu. Pasti..." Bisik hati Alex. Barangkali dia sudah terlupa dirinya seorang agnostik!
2020, Pulau
Langkawi, Malaysia...
"Allah... Dah nak dekat Zuhur. Macam mana laa boleh terlajak tidur
ni." Keluh Yusuf. Dia akui, kadang bukan badan kita yang letih.
Cukup dengan fikiran kacau dan hati yang sentiasa galau memikirkan orang
yang sudah lama pergi dari kehidupan kita, benar-benar membuatkan diri penat.
Mengurung memori masa lalu dalam sangkar rindu, sangat melelahkan. Bukannya dia
tak mahu move on, namun hanya itu kenangan yang dia ada bersama
Alex. Dia sentiasa yakin, akan ada waktu di mana seorang Yusuf Umair dan Alex
Kim sudah bersedia untuk kembali bertemu dan Tuhan yang akan memilih masa
yang sesuai untuk mereka. Sebagai seorang hamba, kekuatannya hanya
terletak pada doa. Bukankah Tuhan telah berjanji dalam Surah Ghafir, ayat 60
yang bermaksud...
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
"Astaghfiruallahhal'azim...Yusuf tersedar. Terlalu ikut perasaan juga akan memudaratkan diri. Dia mengulang-ulang istighfar dalam hati. Teringat sebuah hadis yang pernah dikongsi sahabat baiknya, Uwais al-Qarni ketika mereka bergelar pelajar di Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma'arifl Wataniah 1, atau lebih dikenali sebagai SMA DMW 1.
“Sungguh
hatiku didera kerinduan yang sangat dalam, sehingga aku
beristighfar
seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim).
Comments
Post a Comment