Kalam Penulis Fakir
ADA KETIKA SAYA TERLUPA, ADA WAKTU SAYA MENAHAN RASA DAN ADA HARI, SAYA SENGAJA...
Seringkali saya paksakan pancaindera ini untuk turut melihat, mendengar dan merasa erti kehidupan 'mereka'. Yaa...saya suka untuk cuba prihatin kepada kisah-kisah seperti yang mereka hadapi. Mungkinkah sebenarnya, ia juga tercoret kemas dalam buku kehidupan saya tanpa diri inginkannya. Mereka yang saya maksudkan mungkin juga saya, anda dan kita semua yang masih bernafas walau ada yang terus meragukan ujian yang Tuhan hadirkan...
Dalam karya saya, diri cuba menyelami perasaan mereka yang sudah jauh tertanam di dasar laut, bahkan sehingga mereka menjerit sekuat hati, tidak ada yang mendengar.
Apapun jawapan kalian, saya juga begitu. Ada ketika mungkin saya ialah orang yang terlupa lalu tidak sedar suara-suara itu hanya meminta sepasang telinga ini yang masih belum tuli untuk meraikan kewujudan mereka.
Namun saya juga insan biasa. Kadang, bahu ini sudah melorot jatuh kerana perlu memikul ujian, kesakitan, derita yang puncanya ialah saya sendiri. Ia bertambah sukar untuk saya tempuhi kerana turut diselang-seli dengan bermacam rencah yang ditabur masyarakat sekeliling, keluarga, sahabat, dan orang-orang yang tidak pernah mahu mengenali saya ini seperti apa. Lantas katakan, bagaimana kerikil kecil ini boleh memahami mereka, sedang diri sendiri sudah tidak tertahan dengan semua yang berlaku?
Saya juga akui, ada waktu telinga ini tertangkap suara-suara yang sedang terluka menahan rasa dan mata ini acap kali dipaparkan kisah-kisah mereka. Namun tetap sahaja diri bersikap seperti seorang yang buta, bisu dan tuli, Maka, maafkan saya, diri yang tahu dia kuat untuk membantu tetapi tetap sahaja membatu...
terima kasih atas perkongsian
ReplyDeleteSemoga bermanfaat 😊
ReplyDelete